Serang balai: Dua penuntut IPT bebas

JOHOR BAHRU 22 Nov. – Dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang direman bagi membantu siasatan kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada awal pagi Jumaat lalu, dibebaskan tanpa syarat, semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata pembebasan dua pelajar terbabit dibuat selepas mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara.

“Polis Johor ingin mengesahkan dua pelajar masing-masing berusia 22 dan 21 tahun yang juga penuntut sebuah kolej swasta serta institusi latihan yang ditahan pada 17 Mei lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung serangan di Balai Polis Ulu Tiram, sudah dibebaskan.

“Mereka berdua dibebaskan tanpa syarat, semalam, selepas mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara.

Bagaimanapun, siasatan terhadap lima ahli keluarga suspek masih diteruskan berikutan tahanan reman mereka hanya akan tamat pada 24 Mei ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian serangan pada pukul 2.54 pagi Jumaat lalu, tiga disahkan maut membabitkan dua anggota polis berusia 22 dan 24 tahun serta suspek berumur 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.

Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban dalam insiden itu manakala Koperal Mohd Hasif Roslan yang dilaporkan parah kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

Sabtu lalu, tujuh individu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram..

Tujuh individu berkenaan termasuk lima ahli keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun yang ditahan sejak Jumaat lalu, berikutan serbuan di kediaman mereka selepas kejadian.

Turut direman ialah dua penuntut IPT yang hadir di balai polis sebelum kejadian, kerana dipercayai mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.

Related posts

Leave a Comment