ALOR SETAR 25 Julai – Barisan Nasional (BN) Kedah seharusnya bermuhasabah diri dan melakukan ‘post-mortem’ untuk melihat penolakan rakyat Kedah terhadap calon parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Alor Setar Tan Jin Hao, berkata BN Kedah juga harus melihat bagaimana berlakunya penolakan rakyat, termasuk penyokong parti itu sendiri yang memberi sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasrat BN untuk bertanding di Parlimen Alor Setar pada PRU akan datang.
Sabtu lalu, Pengerusi BN Kedah, Mahdzir Khalid, pada Mesyuarat UMNO Alor Setar, memaklumkan terdapat usul diluluskan supaya kerusi Parlimen Alor Setar dan satu kerusi DUN di kawasan itu ditandingi BN.
Pada PRU15, PN melalui calonnya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berjaya merampas kerusi Parlimen Alor Setar dengan majoriti 9,931 undi apabila menewaskan calon PKR, Simon Ooi Tze Min, dan Tan Chee Hiong yang mewakili BN.
“AMK Alor Setar mengambil perhatian akan kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkaitan permintaan agar kerusi Parlimen Alor Setar diberikan kembali kepada BN untuk ditandingi pada PRU16.
AMK Alor Setar melihat perkara ini dari situasi hari ini, Parlimen Alor Setar patut menjadi kerusi kekal bagi PKR kerana keputusan PRU-15 menunjukkan kita mendapat undi kedua tertinggi, iaitu 27,555, berbanding BN hanya 8,930 undi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pada PRU14, PKR memenangi kerusi Parlimen Alor Setar apabila meraih 32,475 undi, manakala BN berada di kedudukan ketiga dengan 14,181 undi.
Untuk makluman Mahdzir juga, katanya, pada PRN tahun lalu, telah berlaku perbincangan rundingan kerusi antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) di mana BN bertanding di 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“PH pula mendapat 18 kerusi yang perlu dibahagikan kepada tiga parti komponen, iaitu PKR, Amanah dan DAP. Keputusan PRN menunjukkan BN tewas di kesemua 18 kerusi DUN ditandinginya, sebaliknya PH berjaya memenangi tiga kerusi,” katanya.
Beliau berkata, keputusan PRN itu menyebabkan tiga calon PH terbabit kini menjadi suara wakil pembangkang tanpa BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ketika ini.
NNN
