Dr M tak terima notis mesyuarat RCI Batu Puteh

PUTRAJAYA 22 Mei – Dr Mahathir Mohamad, mendakwa tidak menerima sebarang notis berkaitan mesyuarat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan yang diadakan, semalam.

Dalam satu kenyataan semalam, bekas Perdana Menteri itu berkata, mengikut undang-undang, prosiding yang dijalankan secara tertutup itu mewajibkan kehadirannya atau peguam sepanjang prosiding itu berjalan sehingga ia selesai.

“Bagaimana saya mahu menerang, memberi penjelasan atau mempertahan diri jika saya atau peguam tidak dibenarkan hadir sepanjang prosiding itu berlangsung.

“Selain memohon hak untuk saya dan atau peguam hadir untuk sepanjang prosiding RCI berkenaan, peguam saya juga membuat beberapa permohonan lain termasuk memohon penarikan diri Tun Md Raus Sharif (Pengerusi RCI), Datuk Dr Baljit Singh Sidhu (Pesuruhjaya RCI) dan Datuk Mohammed Ridha Abdul Kadir (Pesuruhjaya RCI) kerana wujudnya konflik,” katanya.

Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan Batu Puteh milik Singapura, Batuan Tengah milik Malaysia, dan Tubir Selatan menjadi hak kepada negara perairannya berada.

Malaysia memohon kepada ICJ supaya mentafsirkan penghakiman pada 2017.

Pada 2018, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Dr Mahathir menarik balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman Batu Puteh.

Dr Mahathir turut mempersoalkan prosiding RCI berkenaan yang didakwa dijalankan secara sembunyi sedangkan ia diumum secara terbuka dengan anggota kerajaan memberi pendapat serta membuat kenyataan terhadap dirinya secara terbuka sebelum mula bersidang.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu  berkata, sebaik mengetahui prosiding itu diadakan semalam, pihaknya cuba menghadirkan diri dan mengemukakan beberapa permohonan dan bantahan.

“Semua permohonan dan bantahan itu ditolak dan prosiding RCI itu akan diteruskan secara tertutup.

“Sebelum ini banyak tuduhan dibuat terhadap saya secara terbuka dan ini termasuk kononnya saya membuat keputusan terhadap rayuan kes Pulau Batu Puteh itu secara sendirian atau sembunyi.

“Ini tidak benar dan sepanjang ingatan saya sebelum saya membuat keputusan, saya rujuk kepada pejabat Peguam Negara serta mendapat pandangan peguam berkaitan.

“Setelah itu saya bentangkan kepada anggota Kabinet dan mereka bersetuju untuk tidak meneruskan rayuan berkenaan,” katanya.

Beliau mendakwa, antara anggota Kabinet yang hadir pada ketika itu adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Anthony Loke, Gobind Singh, Datuk Seri Mohamad Sabu dan semuanya boleh dilihat dalam rekod kerajaan.

Related posts

Leave a Comment