Emraz Travel diarah bayar RM46,940

TAWAU 25 April –  Syarikat pengendali pakej umrah, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd diarah membayar pampasan (award) ganti rugi berjumlah RM46,940 kepada enam individu yang gagal mengerjakan ibadah umrah pada tarikh yang ditetapkan.

Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Sabah, Larina Wong Shiao Yee, mengeluarkan arahan itu selepas pendengaran kes dikemukakan pihak penuntut Rajis Yusof, 41, bersama lima yang lain terhadap syarikat berkenaan.

Menerusi tuntutan yang dikemukakan, syarikat pengendali pakej umrah berkenaan berpangkalan di Putrajaya didakwa gagal menerbangkan semua mereka (mangsa) untuk mengerjakan ibadah umrah pada 20 Mac tahun lalu.

Selain itu, tuntutan itu juga menyatakan syarikat terbabit gagal membayar balik wang kesemua mangsa walaupun bayaran keseluruhan untuk pakej umrah yang ditawarkan telah dibuat sepenuhnya.

Berikutan itu, semua mangsa yang berasakan diperdaya syarikat berkenaan kemudiannya tampil memfailkan tuntutan kepada TTPM pada 16 Januari lalu.

Larina mengarahkan Emraz Travel & Tours Sdn Bhd selaku pihak penentang kes membayar pampasan RM46,940 kepada semua pihak penuntut dalam tempoh 14 hari dari tarikh syarikat itu menerima ‘Borang 8’ iaitu award Borang Arahan bayaran balik selepas gagal hadir pada sesi pendengaran kes hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan hari ini, TTPM menetapkan 16 Mei depan sebagai tarikh pendengaran semula pertikaian pampasan ganti rugi bagi enam lagi individu (pihak penuntut) membabitkan sebuah lagi syarikat pengendali pakej umrah yang mengakibatkan mangsa kerugian keseluruhan melebih RM70,000.

Nnn

Related posts

Leave a Comment