Ragui Israel bertolak ansur

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken meragui Israel akan bertolak ansur bagi penubuhan negara Palestin, demi menjalin hubungan diplomatik dengan negara Asia barat lain terutama Arab Saudi.

Penilaian jujur beliau itu dibuat selepas Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan, melawat kedua-dua negara dan memberi taklimat kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengenai ‘potensi’ untuk perjanjian bersejarah itu.

Bagaimanapun, Blinken, yang berulang kali melawat wilayah itu sejak serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel, mengakui ragu-ragu sama ada usaha Netanyahu dan kerajaannya akan memuaskan hati Arab Saudi.

“Saya tidak boleh memberitahu anda sama ada Israel – sama ada perdana menterinya atau Israel secara keseluruhan – bersedia untuk melakukan apa yang diperlukan pada masa ini untuk menjalin hubungan diplomatik.

“Ini kerana ia memerlukan penamatan (perang) di Gaza dan memerlukan laluan yang boleh dipercayai ke arah pembentukan negara Palestin,” katanya pada sesi pendengaran Senat di Washington.

Pada 2020, Israel menjalin hubungan dilomatik dengan tiga negara Arab iaitu Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi – yang dilihat AS sebagai pencapaian yang penting.

Pemimpin AS dan Israel melihat kerjasama dengan Arab Saudi pula sebagai hadiah yang lebih besar kerana kerajaan itu adalah penjaga dua tapak paling suci Islam.

Namun, Arab Saudi, sebagai balasan kepada perjanjian itu, mahukan kemajuan pembentukan negara Palestin – idea yang ditentang oleh Netanyahu selama bertahun-tahun.

Kerajaan itu juga mahukan jaminan keselamatan daripada AS, yang sekian lama bergelut untuk mengurangkan jejaknya di Asia Barat, serta kemungkinan kerjasama dalam sektor pembangunan nuklear awam.

“Saya fikir kita berada pada titik sekarang di mana perjanjian itu sangat mudah dicapai – jangkauan yang sangat dekat,” kata Blinken mengenai rundingan AS-Arab Saudi.

Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, juga berharap perjanjian Arab Saudi boleh membawa kesederhanaan kepada Netanyahu, yang kini bertelagah dengan pentadbiran Biden berhubung jumlah korban awam di Gaza.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment