PRESIDEN Iran, Ebrahim Raisi, disahkan maut oleh pegawai kerajaan negara itu dalam nahas helikopter yang terhempas di kawasan berbukit berhampiran sempadan Azerbaijan kelmarin.
Media tempatan melaporkan demikian selepas misi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan dalam keadaan ribut salji.
Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian dan beberapa lagi maut dalam nahas terbabit dan berita kematian itu kemudian disahkan menerusi kenyataan Naib Presiden, Mohsen Mansouri, yang disiarkan di laman sosial dan media tempatan.
Stesen televisyen negara itu menyiarkan gambar lokasi, menunjukkan pesawat terbabit terhempas di puncak gunung walaupun tiada kenyataan rasmi menjelaskan punca kejadian.
Agensi berita Iran, IRNA, melaporkan ketika kejadian, Ebrahim menaiki helikopter Bell 212 keluaran Amerika Syarikat (AS).
Ebrahim, 63, dilantik sebagai Presiden pada 2021 dan sejak itu, beliau memperkukuhkan undang-undang moral, selain mengawasi penindasan terhadap protes anti-kerajaan dan mengadakan siri perbincangan mengenai nuklear dengan kuasa dunia.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang memegang kuasa tertinggi dengan kuasa akhir dalam dasar luar dan program nuklear Iran, sebelum ini cuba menenangkan rakyat negara itu dengan menyatakan tidak akan ada gangguan dalam urusan negara.
Sementara itu pasukan penyelamat mengharungi ribut salji dan perjalanan sukar sepanjang malam untuk sampai ke lokasi nahas helikopter di wilayah Azerbaijan Timur pada awal pagi Isnin.
“Kami dapat melihat bangkai pesawat dan keadaan tidak kelihatan baik, tiada tanda-tanda kehidupan dikesan dalam kalangan penumpang helikopter itu,” kata ketua Bulan Sabit Merah Iran, Pirhossein Kolivand, kepada TV kerajaan
Pada awal pagi, pasukan penyelamat yang memakai jaket terang dan lampu suluh di kepala dilihat berkerumun di sekeliling peranti GPS ketika mereka mencari di lereng gunung yang gelap gelita dengan berjalan kaki dalam ribut salji.
“Kami sedang mencari dengan teliti setiap inci kawasan umum nahas, di mana cuacanya sangat sejuk, hujan dan berkabus, dengan hujan beransur-ansur bertukar menjadi salji,” lapor media kerajaan memetik seorang komander tentera wilayah.
