KUALA LUMPUR 20 Mei – Pas mengutuk keras insiden ugutan bunuh terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan menuntut agar siasatan dan pendakwaan terhadap pihak terbabit disegerakan, kata Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan.
Dalam kenyataannya hari ini, Pas juga menyatakan solidariti parti terhadap pemimpin DAP itu yang berhak mendapat semua perlindungan daripada apa-apa juga perbuatan jenayah bertentangan dengan undang-undang.
“Sebagai rakyat Malaysia dan lebih-lebih seorang Ahli Parlimen, Teresa berhak mendapat semua perlindungan yang disediakan selain berhak menjalani kehidupan, baik sebagai individu mahu pun ahli politik, dengan aman dan bebas,” katanya.
Beliau berkata, siasatan segera perlu dilakukan memandangkan kes keganasan seumpama itu kerap berlaku sejak kebelakangan ini membabitkan ahli politik, anggota pasukan keselamatan, ahli sukan, ahli perniagaan dan sebagainya.
“Ketiadaan tindakan yang segera, tegas dan profesional, terutamanya daripada pihak berwajib, boleh menyuburkan kecenderungan negatif dalam masyarakat dan ini akan mencetuskan rasa tidak selamat, malah panik dalam kalangan orang awam.
“Pas juga mengambil maklum bahawa pihak polis sudah pun memulakan siasatan kes di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan … Pas berharap ia dapat disegerakan kerana perbuatan jenayah seperti ini tidak boleh diterima sama sekali dalam masyarakat kita,” katanya.
Dalam pada itu, Pas menggesa semua pihak sentiasa mematuhi undang- undang dan menjunjung budaya aman, menolak semua bentuk perbuatan atau kecenderungan yang boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan individu dan masyarakat, tanpa mengira warna kulit, kepercayaan dan pegangan politik.
“Pas percaya, selain pihak berwajib, anggota masyarakat mempunyai peranan yang sangat penting bagi memastikan keamanan dan ketertiban sosial dalam negara sentiasa terjamin serta dinikmati oleh semua pihak dan golongan” katanya.
Semalam, polis mengesahkan menerima laporan daripada Kok berhubung ancaman surat berisi dua butir peluru dan satu kertas putih bersaiz A4 tertera perkataan ugutan bunuh yang diletakkan di peti surat kediamannya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.
Nnn
