13 kes import di Singapura

SINGAPURA 23 Mac – Hari ke-11 tiada kes dalam masyarakat dan asrama pekerja asing sebaliknya Singapura melaporkan 13 kes baharu Covid-19, kesemuanya diimport, setakat tengah hari Selasa (23 Mac).

Seorang wanita tempatan yang pulang ke Singapura dari Austria tiga minggu lalu merupakan antara kes import hari ini. Wanita berusia 40 tahun itu menetap di Austria sejak Ogos 2019.

Beliau tiba di sini pada 2 Mac lalu dan menjalani SHN di sebuah kemudahan khusus sehingga 16 Mac. Kedua-dua ujiannya semasa tiba pada 2 Mac serta ujian swab pada 15 Mac ketika tempoh SHN negatif Covid-19.

Wanita itu tidak mengalami simptom dan dikesan semasa mengambil ujian Covid-19 sebelum berangkat ke Indonesia pada 20 Mac lalu.

Ujiannya itu positif pada 22 Mac dan beliau dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Dalam pada itu, kes import lain yang dilaporkan hari ini termasuk dua lagi rakyat Singapura yang pulang dari India dan dua penduduk tetap yang pulang dari Malaysia dan Amerika Syarikat.

Lima merupakan pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, India dan Filipina, di mana salah seorang merupakan pembantu rumah asing.

Baki kes adalah seorang pemegang pas tanggungan yang tiba dari India, seorang pemegang pas kerja yang tiba dari Amerika Syarikat dan seorang pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari Emiriyah Arab Bersatu

Sementara itu, 12 lagi kes dibenarkan pulang dari hospital , menjadikan keseluruhan jumlah kes pulih di sini sebanyak 60,063. Sebanyak 25 kes masih dirawat di hospital. Seramai 103 sedang menjalani pengasingan dan dirawat di kemudahan masyarakat.

Setakat Selasa, Singapura melaporkan 60,221 kes Covid-19. 

Related posts

Leave a Comment