Pembunuhan semakin meningkat di Rafah

THE HAGUE: Keganasan Israel melakukan pembunuh beramai-ramai atau genosid kini semakin meningkat di Rafah dan sudah melampaui tahap mengerikan, demikian hujah Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) hari ini.

Justeru Afrika Selatan memohon mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengarahkan Israel menghentikan serta merta serangan di Rafah.

Pada prosiding perbicaraan dua hari di The Hague, Afrika Selatan memulakan perbicaraan dengan memohon hakim untuk memerintahkan gencatan senjata di seluruh Gaza.

Peguam, Vusimuzi Madonsela, berkata Afrika Selatan berharap, pada hari terakhir perjuangan negara itu di mahkamah nanti ia dapat menghentikan kekejaman Israel, sekaligus membela rakyat Palestin dan menjamin kelangsungan hidup mereka.

“Ini kerana pembunuhan secara beramai-ramai Israel dilihat bukan sahaja berterusan, namun sudah melangkaui tahap baharu lagi mengerikan sementara dunia hanya memerhati,” katanya.

Beberapa minit sebelum prosiding perbicaraan mahkamah dimulakan, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, mengesahkan serangan di Rafah akan diteruskan dengan pasukan tentera tambahan dikerahkan ke kawasan itu.

ICJ mendengar banyak tuduhan terhadap Israel dari peguam yang mewakili ibu negara Afrika Selatan, Pretoria, termasuk kewujudan kubur secara besar-besaran, penyeksaan, dan tindakan sengaja menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Januari lalu, ICJ memerintahkan Israel untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai dan membolehkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza tetapi tidak mengarahkan gencatan senjata.

Afrika Selatan berpendirian suatu tindakan baharu perlu dilakukan ICJ susulan perkembangan terkini di Rafah di mana penduduknya semakin berkurangan dan tidak akan ada sesiapa lagi untuk dilindungi pada suatu masa nanti.

Peguam mewakili Afrika Selatan, Vaughan Lowe, pula berkata serangan di Rafah adalah usaha kemuncak dalam tindakan untuk memusnahkan Gaza dan rakyat Palestin oleh Israel, dengan menggunakan alasan memerangi pejuang Hamas.

“Perkembangan terkini di Rafah mendorong Afrika Selatan kembali ke ICJ membawa rintihan suara rakyat Palestin. Hanya mahkamah boleh memerintahkan perlindungan yang diperlukan rakyat Palestin daripada pembunuhan beramai-ramai ini,” katanya.

Seorang lagi peguam, Adila Hassim, berkata sekiranya Rafah musnah, ia membawa maksud kehancuran Gaza secara keseluruhannya.

“Ini kerana Rafah adalah hab kemanusiaan utama untuk bantuan di Gaza dan sekiranya Rafah jatuh, Gaza juga jatuh. Menghalang bantuan kemanusiaan adalah tindakan yang dengan sengaja ingin memadamkan nyawa rakyat Palestin, melenyapkan mereka sama sekali,” katanya.

Related posts

Leave a Comment