Tindakan di Gaza tidak lagi boleh diterima

BERLIN – Canselor Jerman, Friedrich Merz, menegaskan tindakan di Semenanjung Gaza tidak lagi boleh diterima dan menuntut gencatan senjata, bantuan kemanusiaan yang menyeluruh untuk rakyat di wilayah itu.

Pada sidang media, Merz menyuarakan kebimbangan mengenai situasi di Gaza dan memaklumkan bahawa beliau sedang mengadakan perbincangan dengan pemimpin Eropah mengenai cara untuk mencapai gencatan senjata serta memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan.

Merz berkata, beliau telah menyuarakan kebimbangan itu dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan menegaskan akan meneruskan usaha diplomatik untuk menangani situasi berkenaan.

“Saya membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, di London, semalam (kelmarin). Saya akan mengetengahkan isu ini sekali lagi pada minggu depan apabila Presiden Perancis, Emmanuel Macron, melawat Berlin,” katanya.

Sejak Israel melancarkan kempen ketenteraan di Gaza pada 2023, hampir 59,000 rakyat Palestin sudah terbunuh dan lebih 100,000 lagi cedera dengan kebanyakannya adalah wanita serta kanak-kanak.

Related posts

Leave a Comment