Pengunjung 36 lagi negara boleh guna Autogate

PUTRAJAYA  16 Mei – Mulai 1 Jun, pengunjung dari 36 lagi negara berisiko rendah dibenarkan menggunakan sistem pagar automatik (Autogate) di semua pintu masuk negara yang memiliki kemudahan itu.

Negara tersebut termasuk semua negara Kesatuan Eropah (EU), Bahrain, Qatar, Oman, Jordan, China, Kanada, Hong Kong serta Taiwan.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata dengan kebenaran tambahan itu, jumlah negara yang boleh menggunakan kemudahan berkenaan meningkat kepada 46.

“Inisiatif ini membolehkan pemeriksaan di pintu masuk lebih cepat dan dipermudahkan tanpa kompromi elemen keselamatan, sekali gus untuk menangani kesesakan di pintu masuk negara,” katanya.

Beliau mengumumkan demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), hari ini.

Tahun lalu, kerajaan membenarkan warga Singapura, Brunei, New Zealand serta negara Kumpulan Tujuh (G7) yang berkunjung ke negara ini menggunakan sistem Autogate di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kemudahan itu yang sebelum ini hanya dikhaskan untuk rakyat Malaysia adalah bagi mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara.

Menurut Saifuddin, langkah diambil kerajaan itu penting memandangkan data kemasukan pengembara melalui pintu masuk utama negara adalah seramai 40 juta orang dari 1 Januari 2023 hingga April lalu.

Katanya, 30.5 juta pengembara yang direkodkan itu memasuki negara melalui KLIA Terminal 1 dan 2 serta di pintu masuk melalui Johor.

Selain itu, beliau berkata, kemudahan terbabit turut diberikan kepada semua kakitangan diplomatik yang bertugas di Malaysia termasuk keluarga mereka.

“Tahun depan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN yang mana mesyuarat di peringkat menteri dan pegawai kerajaan bakal berlangsung. Ini langkah awal untuk kita mempersiapkan proses ketibaan mereka dapat diuruskan dengan cepat dan mudah,” katanya.

Beliau berkata, KDN akan berbincang dengan rakan sejawatnya di Kementerian Pengangkutan serta pengendali lapangan terbang untuk menempatkan lebih banyak papan tanda serta pengiring bagi memaklumkan mengenai kemudahan yang disediakan.

Di samping itu Kementerian juga bercadang untuk menambah 40 lagi Autogate di KLIA 1 dan 2 yang ketika ini berjumlah 54 di KLIA Terminal 1 dan 2.

Mengenai kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor, Saifuddin berkata, terdapat beberapa inisiatif yang sudah diusahakan bagi memastikan proses imigresen dapat dibuat dengan lancar.

“Berdasarkan data, seramai 350,000 pengembara keluar masuk di sana, jadi kita sedang teroka beberapa inisiatif termasuk opsyen Kod QR. Jadi dalam tempoh terdekat kita akan membuat beberapa siri pengumuman,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment