SINGAPURA 15 Mei – Perdana Menteri keempat Singapura, Lawrence Wong, 51 berikrar untuk berkhidmat sebaik mungkin untuk semua rakyat Singapura di sebalik dunia sedang bergelora dan tidak menentu.
Beliau yang berucap dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Mandarin pada majlis pelantikannya sebagai Perdana Menteri berjanji akan bekerja keras dan turun padang untuk mendekati dan memperbaiki mutu kehidupan rakyat Singapura.
Ketika berucap dalam bahasa Melayu pada majlis angkat sumpah yang berlangsung di Istana malam ini, Wong menyatakan rasa rendah diri, dan berbesar hati kerana diamanahkan dengan tanggungjawab ini.
“Saya berikrar untuk berkhidmat sebaik mungkin bagi semua rakyat Singapura. Walaupun masa hadapan semakin mencabar, terdapat juga banyak peluang baru.
Sebagai rakyat yang bersatu-padu, saya yakin kita boleh merebut peluang-peluang tersebut demi membina Singapura yang lebih baik,” kata Wong yang mengambil alih jawatan itu daripada Lee Hsien Loong.
Dalam ucapan bahasa Cinanya, Wong turut memberi penghargaannya kepada mantan Perdana Menteri, Lee, yang telah banyak menabur bakti dan menyumbang kepada pembangunan Singapura.
Beliau berkata Lee merupakan mentornya apabila beliau menyertai politik pada 2011, dan telah banyak membimbingnya dengan baik dan sentiasa menyokongnya.
Katanya, di bawah kepemimpinan Lee, Singapura telah mengemudi banyak perubahan di luar dan dalam negeri, dan mengharungi pelbagai krisis.
“Malam ini, saya merakamkan penghargaan saya dan negara kita kepada Lee Hsien Loong. Sepanjang hayat dalam perkhidmatan awam, menjangkau lebih setengah abad, beliau menumpukan dirinya untuk perkhidmatan negara dan rakyat kita.
“ Lee sering bercakap tentang keperluan untuk mengekalkan Singapura yang luar biasa. Beliau sendiri luar biasa dalam pengabdiannya, sikap tidak mementingkan diri, dan dedikasinya untuk berkhidmat. Kami berhutang budi kepadanya,” kata Wong.
Sementara itu, Wong menzahirkan keazaman untuk membantu rakyat Singapura memenuhi impian mereka, dan memupuk masyarakat yang lebih adil dan sama rata.
Beliau menambah, pemerintah akan terus membina ekonomi yang cergas dan mewujudkan pekerjaan yang baik untuk semua rakyat dengan kerjasama rakan kongsi tiga pihak.
“Kami akan mencari cara baru untuk menjadi lebih produktif dan inovatif, serta mencapai keseimbangan yang lebih baik dengan pekerjaan yang bermatlamat dan kehidupan bermakna.
“Kami akan menjaga warga emas kita, mereka yang terdedah di kalangan kita, dan mereka yang berkeperluan khas.
“Kami akan menyokong semua rakyat Singapura, tanpa mengira titik permulaan mereka dalam kehidupan, umur atau keupayaan – untuk meningkatkan diri mereka dan menjalani kehidupan yang memuaskan,” kata Wong.
Katanya, tiada siapa yang akan ketinggalan, dan setiap individu tanpa mengira usia, kemampuan atau status sosioekonomi mempunyai peluang saksama untuk berkembang maju.
Beliau berikrar tiada siapa yang akan ketinggalan, memastikan setiap individu mempunyai peluang saksama untuk berkembang maju.
“Sebagai Perdana Menteri, saya akan memimpin dan memikul tanggungjawab atas keputusan yang saya ambil. Namun, saya juga akan melibatkan diri dan memaksimumkan gabungan tenaga, imaginasi dan kekuatan setiap rakyat Singapura,” katanya
Terdahulu Wong mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden Tharman Shanmugaratnam berlatarbelakangkan bangunan Istana dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Sundaresh Menon.
Lebih 870 tetamu hadir pada majlis itu termasuk mantan Presiden, Halimah Yacob, anggota Parlimen, Duta Besar, pekerja penjagaan kesihatan dan pengangkutan barisan hadapan, pemimpin agama, pemimpin perniagaan, ahli kesatuan sekerja, guru dan pelajar, kumpulan dan sukarelawan masyarakat.
Wong, yang berkhidmat selama 13 tahun dalam politik, menjadi Perdana Menteri keempat Singapura selepas Perdana Menteri pertama, mendiang Lee Kuan Yew, diikuti Goh Chok Tong dan Hsien Loong.
Nnnnn
