Jambatan darat dijangka beri manfaat

BUKIT KAYU HITAM 27 Nov. –  Kerajaan Thailand memberi jaminan cadangan pembinaan pelabuhan dan jambatan darat bagi memintas laluan perkapalan di Selat Melaka, akan turut membabitkan kerjasama Malaysia, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, berkata cadangan pembinaan kemudahan baharu di selatan Thailand itu masih di peringkat awal, dan Malaysia dijangka turut mendapat manfaat.

Beliau yang melakukan lawatan kerja ke Sadao dan mengadakan perbincangan tertutup dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, dekat sini hari ini, berkata, Malaysia masih belum memutuskan sama ada akan menyertai projek terbabit.

Malaysia juga belum memutuskan sama ada mendapatkan ekuiti dalam rancangan pembinaan pelabuhan dan jambatan darat berkenaan yang dianggar bernilai berbilion ringgit.

“Bagi kita, ada faedah dan manfaat kemudahan di situ, cuma secara terperinci sama ada kita akan menyertainya atau ada ekuiti masih terlalu awal,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Bukit Kayu Hitam.

Sebelum ini, Thailand mengemukakan cadangan projek membina pelabuhan dan jambatan darat bagi mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Hindi dan Pasifik dengan mengelak Selat Melaka, laluan laut utama yang sibuk.

Thavisin dilaporkan memberitahu pelabur di San Francisco bahawa projek itu boleh memendekkan masa perjalanan kira-kira empat hari dan mengurangkan perbelanjaan perkapalan sebanyak 15 peratus.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut melawat Kompleks CIQS Sadao yang masih dalam pembinaan dan membincangkan isu berkaitan jajaran baharu laluan pintu masuk utama darat antara dua negara terbabit.

Anwar berkata, Malaysia komited menyelesaikan isu jajaran baharu berkenaan bagi menyelesaikan masalah kesesakan trafik yang berlarutan di pintu sempadan sedia ada ketika ini.

Katanya, pembinaan laluan baharu itu diyakini mampu memacu pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara terutama di kawasan sempadan dan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Thailand.

“Kalau kita lihat (pembinaan) CIQS Sadao lebih cepat berbanding kita. Walaupun CIQS kita lebih awal (siap) daripada Thailand, yang tertangguh adalah jalan yang perlu kita siapkan segera, tapi mengambil sikit masa kerana menyentuh laluan kawasan tentera.

Kita akan berunding dalam tempoh dua minggu untuk memuktamadkan. Saya tak mahu perkara ini tertangguh lagi kerana sikap kerajaan Thailand sekarang lebih lunak dan akrab, mahu menjadikan kawasan utara Semenanjung dan selatan Thailand sebagai kawasan pertumbuhan baharu,” katanya.

Malaysia turut menyatakan hasrat meneruskan rancangan pembinaan jambatan baharu Rantau Panjang menyeberang Sungai Golok yang belum dapat dilaksanakan sehingga kini.

Katanya, Malaysia sudah bersedia melaksanakannya dan menunggu jawapan

Perdana Menteri Thailand kerana keputusan perbincangan adalah untuk ia dilaksana selewat-lewatnya tahun hadapan.

“Sekiranya Thailand setuju, kita boleh dapatkan kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) dan segerakan pembinaan jambatan, saya akan maklumkan kepada Kabinet pada Jumaat ini untuk segerakan perkara ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment