BALIK PULAU 13 Mei – Pantai Teluk Bahang diisytiharkan sebagai sarang penyu bertelur dan pada masa sama mewujudkan Pusat Konservasi Marin di Angsana Resort bagi memelihara, memulihara, mengurus serta konservasi spesies terancam.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, ia merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Aquawalk Group Sdn Bhd dan Angsana Resort.
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula akan bertindak sebagai penasihat teknikal bagi usaha pemeliharaan dan rehabilitasi spesies terancam seperti penyu.
Wan Muhammad Aznan berkata dengan kerjasama pihak-pihak tersebut, pendaratan penyu berkemungkinan bertambah kerana berdasarkan rekod dari 2019 hingga 2023, Pulau Pinang mencatatkan data pendaratan ibu penyu sebanyak 292 kali dengan 27,701 biji telur berjaya diperoleh dan penetasan telur sebanyak 17,607.
Katanya, pihak hotel akan bekerjasama dengan DOF, dan sesiapa yang ternampak telur penyu boleh mengutip tetapi perlu menyerahkan kepada pihak Angsana Resort yang akan membayar RM2 bagi setiap biji.
“Dua spesies penyu yang dikenal pasti mendarat di sekitar pantai Pulau Pinang adalah penyu agar dan penyu lipas. Pendaratan reptilia ini tertumpu di Pantai Kerachut, Teluk Kampi dan Teluk Bahang,” katanya.
Terdahulu beliau menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Aquawalk Group (Aquaria KLCC) dan prapelancaran Pusat Konservasi Marin di Angsana Resort, dekat sini pada Isnin.
MoU berkenaan adalah untuk kerjasama berkaitan pengurusan dan pemuliharaan spesies akuatik terancam seperti penyu, mamalia marin dan batu karang dalam aspek pendidikan sekali gus meningkatkan kesedaran awam dengan lebih giat serta melaksanakan pelbagai aktiviti secara bersama pada masa akan datang.
MoU itu ditandatangani Wan Muhammad Aznan dan Pengarah Urusan Aquaria KLCC Datuk Simon Foong dengan disaksikan Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
Nnn
