AS teruskan usaha gencatan senjata

MOSCOW: Amerika Syarikat (AS) akan berusaha untuk mendapatkan gencatan senjata di Semenanjung Gaza walaupun selepas kematian Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken .

Bercakap pada satu sidang akhbar, Blinken berkata tiada apa yang boleh mengurangkan kepentingan untuk mencapai gencatan senjata.

“Saya tidak akan membuat spekulasi mengenai kesan yang mungkin berlaku, saya telah belajar selama bertahun-tahun untuk tidak membuat spekulasi kerana kita memang tidak tahu.

“Apa yang saya tahu adalah keperluan mendesak untuk mendapatkan gencatan senjata, dan apa yang saya tahu ialah kami akan terus berusaha ke arah itu setiap hari,” kata Blinken.

Terdahulu, pergerakan Palestin Hamas mengesahkan kematian Haniyeh akibat serangan Israel ke atas tempat penginapannya di ibu negara Iran. Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri upacara angkat sumpah presiden baharu Iran.

Dalam wawancara dengan saluran berita Singapura CNA, Blinken berkata Washington ‘tidak mengetahui atau terlibat dalam’ pembunuhan Haniyeh.

Blinken berkata sukar untuk meramalkan akibat daripada pembunuhan itu, sambil menekankan keperluan untuk gencatan senjata dan menambah bahawa AS ‘akan terus berusaha selama mana yang diperlukan untuk mencapainya’.

Related posts

Leave a Comment