Azam Baki junjung kasih kepada Agong

PUTRAJAYA 10 Mei – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Azam Baki, menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di atas perkenan baginda melantiknya semula ke jawatan itu berkuat kuasa Ahad ini.

Beliau yang dilantik semula untuk tempoh setahun lagi, akan menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh amanah.

“Saya akan terus memastikan amanah ini dilaksanakan sepenuhnya dan menjalankan tanggungjawab terbabit dengan penuh integriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, menerusi kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Pelantikan semula untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 12 Mei 2024 selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Ini adalah kali kedua perkhidmatan Azam disambung untuk menerajui SPRM selepas kali pertama dilantik semula ke jawatan berkenaan pada 12 Mei tahun lalu.

Azam juga berharap seluruh rakyat dapat bersama SPRM membanteras jenayah rasuah tanpa kompromi.

“SPRM juga berharap supaya seluruh rakyat Malaysia serta jentera kerajaan, tanpa kompromi dapat berganding bahu bersama SPRM bagi memerangi jenayah rasuah di negara ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment