8.1 juta penerima SARA, RM8 bilion 2026

PUTRAJAYA 6 Jan.  – Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Bulanan yang akan dikreditkan mulai Jumaat ini akan melibatkan lima juta penerima terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, ini diikuti pembayaran kepada 3.1 juta individu bujang pada 16 Januari 2026.

Secara keseluruhan, SARA Bulanan membabitkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM8 bilion untuk tahun ini, berbanding 5.4 juta penerima  dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion pada 2025.

Penerima SARA bulanan akan menerima kredit antara RM50 hingga RM200 mengikut kategori kelulusan dan tahun lalu, penerima SARA Bulanan menunjukkan prestasi perbelanjaan hampir 100 peratus, termasuk di kawasan luar bandar.

Terdahulu, Perdana Menteri  Anwar Ibrahim menerusi amanat Tahun Baharu mengumumkan bantuan SARA untuk penerima miskin tegar akan dikreditkan pada Jumaat ini, manakala Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa satu bernilai sehingga RM500 akan dikreditkan pada 20 Januari.

Perdana Menteri juga dilaporkan berkata, pembayaran SARA bernilai RM100 kepada semua rakyat tempatan berusia 18 tahun ke atas akan dikreditkan pada 9 Februari ini sebagai persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, MoF berkata, inisiatif SARA kepada semua rakyat tempatan berusia 18 tahun ke atas yang diperkenalkan pada 31 Ogos lalu sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan itu, akan dinikmati 22 juta warganegara yang layak secara sekali bayar.

Selain itu, katanya, SARA untuk Semua 2025 iaitu bantuan ‘one-off’ (sekali bayar) diberikan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas mencatatkan penggunaan oleh 21.2 juta rakyat, iaitu 96 peratus penerima, dengan perbelanjaan hampir RM2.1 bilion.

Bantuan ini berbeza daripada SARA Bulanan, iaitu bantuan barangan asas disalurkan setiap bulan mulai Jumaat ini, kepada penerima STR dan golongan memerlukan.

MoF berkata, baki SARA untuk Semua yang tidak dibelanjakan pada 2025, bernilai kira-kira RM150 juta akan disalurkan semula bagi menjamin maslahat golongan rentan.

Antara inisiatif dikenal pasti termasuk sokongan kepada penghuni pusat perlindungan seperti mangsa keganasan rumah tangga, bantuan untuk pelajar kurang upaya dan keperluan khas, pembelian peranti perubatan untuk golongan rentan serta inisiatif Dapur SISWA untuk membantu pelajar kurang berkemampuan mendapat akses makanan.

Selain itu, Anwar mengumumkan penyaluran STR Fasa 1 tahun ini, akan bermula pada 20 Januari 2026, membabitkan peruntukan RM1.1 bilion untuk 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.

Penerima akan menerima antara RM100 dan RM500 mengikut kelayakan masing-masing.

Sementara itu, bagi manfaat golongan penerima, tahun ini, sasaran kedai kecil yang terlibat dalam program SARA akan ditingkatkan kepada 10,000 menjelang akhir 2026, berbanding lebih 3,000 pada akhir tahun 2025, melengkapi cawangan pasar raya sedia ada.

Nnn

Related posts

Leave a Comment