MoU kerjasama perlindungan data

PUTRAJAYA 30 Jan. – Malaysia dan Singapura menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber serta ekonomi digital.

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam kenyataan hari ini berkata, ia susulan persetujuan kedua-dua negara pada Oktober 2018 untuk meneroka kerjasama dalam ketiga-tiga bidang berkenaan.

Katanya, KKD bersetuju dengan cadangan itu, manakala proses mengemas kini dan merangkumkan bidang kerjasama dalam MoU berkenaan dimulakan selepas itu.

MoU itu berkuat kuasa serta merta dan akan kekal berkuat kuasa untuk tempoh 5+5 tahun sehingga Februari 2026, terutama meliputi kerjasama dalam bidang media dan maklumat.

MoU itu ditandatangani Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan rakan sejawatnya, Josephine Teo bagi pihak Singapura yang disaksikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong di The Istana, Singapura.

Antara bidang kerjasama dalam perlindungan data peribadi adalah bertukar-tukar pengetahuan dan kepakaran berhubung amalan terbaik mengenai dasar serta peraturan perlindungan data peribadi, program pendidikan dan pembinaan kapasiti, dan usaha penguatkuasaan serta mempermudah mekanisme bagi menggalakkan aliran data rentas sempadan.

Kerjasama berkenaan turut membabitkan pembangunan dan pelaksanaan Mekanisme Aliran Data Rentas Sempadan ASEAN di bawah Rangka Kerja ASEAN Mengenai Tadbir Urus Data Digital dan pertukaran maklumat mengenai potensi atau perlindungan data rentas sempadan sedang dilaksanakan atau insiden atau penyiasatan ‘do-not-call’ membabitkan individu atau organisasi.

Selain itu, kerjasama itu turut membabitkan pembangunan inisiatif bersama dalam kalangan peserta untuk membolehkan industri bekerjasama dalam inovasi berpacukan data.

Manakala kerjasama dalam bidang keselamatan siber merangkumi pertukaran pengetahuan dan kepakaran mengenai amalan terbaik, penyelarasan dan organisasi aktiviti pembinaan kapasiti keselamatan siber serta pertukaran maklumat mengenai analisa, pengalaman dan panduan mengenai serangan siber dan insiden keselamatan siber, kebimbangan atau ancaman.

Ia turut termasuk melantik sebuah agensi peneraju keselamatan siber negara yang diberikan kuasa oleh setiap peserta bagi mewujudkan Meja Bulat Keselamatan Siber Malaysia-Singapura tahunan.

Mengenai ekonomi digital, perjanjian itu membabitkan pertukaran maklumat mengenai amalan terbaik, dasar dan peraturan termasuk digitalisasi, piawaian yang boleh dikendalikan dan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan teknologi lejar teragih seperti blockchain.

Kerjasama itu turut menggalakkan dan menyokong pertumbuhan perdagangan elektronik, ekonomi digital dan piawaian yang boleh dikendalikan, namun tidak terhad kepada tandatangan dan pengesahan elektronik, rekod boleh dipindah milik elektronik dan rangka kerja invois elektronik.

Related posts

Leave a Comment