Perbaharui silibus tidak relevan

ISKANDAR PUTERI 9 Mei – Tunku Mahkota Ismail menitahkan supaya silibus mata pelajaran sekolah yang sudah tidak lagi relevan, diperbaharui berikutan pendidikan berkualiti adalah asas kemajuan dan penting bagi penyelesaian pelbagai isu.

Pemangku Sultan Johor itu bertitah, Kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah lebih proaktif bagi meningkatkan kualiti sistem dan fasiliti pendidikan negara.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, baginda sering menekankan kepentingan pendidikan berkualiti kepada bangsa Johor kerana ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi akan datang.

“Satu perubahan penting yang perlu dilaksanakan adalah dengan memperbaharui silibus mata pelajaran yang sudah tidak relevan lagi.

Jika tidak dapat dilaksanakan di peringkat nasional, biarkan Johor jadi negeri pertama untuk mengubah silibus di sekolah-sekolah di Johor,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Tunku Mahkota Ismail turut menitahkan supaya Kementerian Pendidikan menerima teguran Laporan Bank Dunia mengenai pendidikan negara, bulan lalu.

“Jika kita masih tidak dapat menerima hakikat seperti dilaporkan dalam Laporan Bank Dunia baru-baru ini dan kedudukan terkini pelajar kita, maka kita tidak sepatutnya mengeluh sekiranya generasi masa hadapan kurang berdaya saing berbanding rakan serantau,” titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail merujuk laporan terkini Bank Dunia bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills’ pada 25 April lalu, yang dilaporkan memberi gambaran pembelajaran murid Malaysia ketinggalan.

Ia berbanding pelajar Vietnam walaupun perbelanjaan besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Laporan itu juga menyatakan hanya 58 peratus pelajar di Malaysia mahir membaca menjelang akhir Tahun 5, jauh lebih teruk daripada rakan serantau, selain pelajar Malaysia dilapor menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah tetapi pembelajaran bersamaan dengan hanya 8.9 tahun, manakala pelajar Vietnam mencapai 10.7 tahun pembelajaran dalam jangka masa sama.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail menetapkan sasaran supaya setiap generasi muda di negeri ini melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

“Saya ingin menzahirkan pada masa akan datang, setiap anak Johor perlu tamatkan pengajian di peringkat IPT dan bukan lagi peringkat menengah sahaja,” titah baginda.

Baginda juga mahu Johor melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran dalam teknologi dan terdedah kepada perubahan teknologi semasa berikutan semakin banyak pusat data berskala besar dibuka di sini berikutan kemasukan pelabur asing.

Menurut baginda, Johor berpotensi menjadi hab teknologi dan inovasi negara dan memerlukan inisiatif baharu yang lebih proaktif untuk membantu mempersiapkan golongan belia Johor menghadapi cabaran masa depan dengan pembangunan pusat data berskala besar di Johor, juga perlu diadakan.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment