Kaedah lain bantu bukan keluar KWSP

KUALA LUMPUR 17 Feb. – Kerajaan sedang mencari jalan yang lebih sesuai melalui Belanjawan 2023 bagi mengurangkan beban rakyat tanpa mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengeluaran tambahan baharu KWSP sama ada secara bersasar atau terbuka akan memburukkan isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang kini di tahap membimbangkan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, isu ketidakcukupan simpanan KWSP perlu diberi perhatian yang serius ketika negara kini sedang menghadapi fenomena penuaan penduduk yang pantas.

Ini kerana, katanya, ia bakal memberi impak yang amat besar kepada negara dan rakyat, terutama dari segi ekonomi, produktiviti, kesejahteraan sosial, kualiti hidup serta kesihatan.

Implikasi bagi empat kemudahan pengeluaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan jangka panjang iaitu pengurangan jumlah simpanan persaraan yang ketara kepada ahli yang terbabit.

“Sehingga 31 Disember 2022, seramai 6.7 juta ahli atau 51 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun KWSP selepas pengeluaran berkenaan.

Jumlah ini menyebabkan ahli memperoleh pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun,” katanya dalam jawapan bertulis melalui persidangan Dewan Rakyat.

Jawapan itu diberikan terhadap soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan adakah kerajaan akan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi meringankan beban kehidupan rakyat.

Pada masa sama, Anwar berkata, pengeluaran tambahan baharu memerlukan KWSP menyediakan aliran tunai bagi menampung amaun pengeluaran yang besar itu.

Beliau berkata, KWSP perlu mengambil langkah pengimbangan portfolio dengan mengambil kira pegangan tunai semasa, kecairan dan kematangan pegangan instrumen berpendapatan tetap selain memperlahankan aktiviti pelaburan domestik.

“Ini menyebabkan kekangan bagi penyertaan dalam peluang pelaburan baharu dan akan memberikan kesan secara langsung dari segi kehilangan potensi pulangan jangka panjang yang turut menjejaskan peluang menjana pendapatan untuk pembayaran dividen kepada ahli pada masa depan.

“Tambahan pula, indikator ekonomi menunjukkan aktiviti ekonomi semakin pulih dengan perniagaan yang sudah mula beroperasi sepenuhnya dan sebahagian besar pekerja kembali bekerja untuk menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan itu boleh dilihat daripada statistik KWSP yang menunjukkan peningkatan ketara dari segi bilangan ahli dan majikan yang aktif mencarum, pendaftaran ahli serta majikan baharu dan jumlah caruman setakat Disember 2022.

Katanya, bilangan ahli aktif KWSP menunjukkan peningkatan sembilan peratus kepada 8.39 juta berbanding 7.69 juta pada Disember 2021.

Di samping itu, bilangan majikan aktif juga menunjukkan peningkatan tujuh peratus kepada 588,714 berbanding 550,825 pada tahun sebelumnya dan berbanding 2021, pendaftaran ahli dan majikan baharu pada 2022 meningkat daripada 421,643 kepada 635,989 untuk ahli baharu dan 72,518 kepada 93,669 bagi majikan baharu.

Related posts

Leave a Comment