YAN 5 Mei – “Baik pun salah, tak baik pun salah,” kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor susulan sikap segelintir netizen yang mempersendakan permohonan maafnya pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI di Jitra, malam tadi.
Beliau yang kecewa dengan sikap itu menyifatkan warganet yang gemar mengkritik kebaikan yang dilakukan orang lain itu mewarisi sifat syaitan, sedangkan ucapan maaf itu adalah ikhlas dari lubuk hatinya sebagai manusia biasa.
“Kalau jumpa di mana-mana pun, orang lebih tua pada saya, macam itulah gaya saya, saya bukan berlakon, saya jadi diri saya yang sebenar. Saya nampak komen-komen di media sosial, baik pun salah, tak baik pun salah.
Kalau kita berbuat baik sesama umat manusia pun tidak disukai, itu kerja syaitan. Bila orang sakit hati tengok satu benda baik, dia mewarisi sifat-sifat syaitan. Jadi berhentilah jadi syaitan, jadilah manusia,” katanya selepas Majlis Penjenamaan Semula Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan kepada Pusat Mempelam Kedah di sini, hari ini.
Menteri Besar itu mengulas tindakan segelintir pihak yang melukis karikatur beliau tunduk memohon maaf kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersama dialog ‘Mohon maaf ler, mulut saya memang kurang ajaq, Kelantan dah dapat, Kedah bila lagi?’
Katanya, sebagai umat Nabi Muhammad SAW pada akhir zaman, umat Islam perlu melakukan sebanyak mungkin kebaikan, perkara yang baik patut disuburkan dan memohon maaf itu menandakan seseorang itu berjiwa besar.
“Saya minta maaf zahir dan batin, sama ada dari segi adat dan budaya, tetamu mai (datang) tempat kita, tentulah kita kena hormat tetamu, itu wajib Nabi kata, ada hadisnya. Jadi, beramal dengan hadis, beramal dengan panduan-panduan Islam itu wajib, apa yang sakit hati sangat?” katanya.
Pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat Kedah di Jitra malam tadi, Muhammad Sanusi mengambil kesempatan memohon maaf di hadapan Anwar dan beberapa menteri Kabinet yang hadir pada majlis itu.
Beliau meminta maaf sekiranya ada memberi ucapan yang kurang sesuai dalam konteks hubungan sesama manusia (hablumminannas).
Muhammad Sanusi berkata, beliau adalah manusia biasa yang tidak maksum dan permohonan maaf itu dibuat bagi pihak dirinya dan kerajaan negeri selama berkhidmat sebagai Menteri Besar dan atas kapasiti politik.
Beliau menyifatkan, sebagai insan yang lemah, keterlanjuran dan kesilapan pastinya ada dalam diri masing-masing.
Nnnn
