WHO bimbang keselamatan, kesihatan

COPENHAGEN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bimbang mengenai nasib orang awam di Ukraine sama ada keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan mereka berikutan pencerobohan tentera Russia.

Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge juga bimbang kemajuan ketara yang dibuat dalam mengukuhkan sistem kesihatan di Ukraine sejak beberapa tahun kebelakangan  terjejas.

Katanya, risiko kesihatan serta merta berkaitan kematian manakala hospital akan memerlukan bekalan kecemasan segera, termasuk ubat-ubatan dan kit pembedahan serta kes trauma.

Beliau memberitahu, WHO sedang menyediakan kit perubatan pembedahan di Dubai untuk dihantar ke Ukraine, melalui Poland.

Khamis lalu Presiden Russia, Vladimir Putin mengarahkan tenteranya untuk menyerang Ukraine.

Setakat ini, pencerobohan itu meragut puluhan nyawa dan menyebabkan sekurang-kurangnya 100,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Kluge berkata, WHO menggerakkan ketiga-tiga peringkat organisasinya untuk menyokong krisis kemanusiaan yang berlaku dengan cepat.

Katanya, pasukan global, serantau dan negara lain diselaraskan untuk menyampaikan sokongan kesihatan ke Ukraine dan negara sekitarnya,

Beliau menambah, keutamaan WHO di Ukraine sudah beralih kepada penyediaan perkhidmatan kecemasan, penjagaan trauma, memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan, penyediaan khidmat kesihatan mental dan sokongan psiko-sosial.

Bagaimanapun, katanya ubat-ubatan dan vaksin masih diperlukan dan WHO sedang bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan kongsi lain.

Related posts

Leave a Comment