Bina penghadang halang bergambar

FUJIKAWAGUCHIKO: Tindak tanduk pelancong yang gagal mematuhi peraturan asas menyebabkan pembinaan penghadang di sebuah bandar kecil bagi menghalang pemandangan paling terkenal di Jepun iaitu, Gunung Fuji.

Penduduk tempatan mengadu tingkah laku buruk pelancong yang ‘gila bergambar’ di Fujikawaguchiko, tempat popular dalam kalangan pelancong asing mengambil gambar gunung yang tersergam indah di belakang kedai serbaneka Lawson.

Pegawai tempatan dan penduduk berkata, walaupun bandar itu mengalu-alukan pelawat, mereka masih perlu berbuat sesuatu untuk menghalang pelancong melintas jalan semberono, mengabaikan lampu merah, membuang sampah, menceroboh, meletak kenderaan secara haram dan merokok di luar kawasan yang ditetapkan.

Menjelang pertengahan bulan ini, bandar itu merancang untuk melengkapkan penghadang setinggi 2.5 meter dengan lebar 20 meter untuk menghalang pemandangan gunung, dengan harapan ia akan menghalang pelancong daripada berlegar-legar di kawasan bandar itu.

Tindakan diambil bandar itu telah mencetuskan perdebatan utama negara dan antarabangsa, kerana Jepun mengalami masalah pelancongan keterlaluan.

Dewan perbandaran Fujikawaguchiko telah dibanjiri dengan panggilan telefon daripada orang Jepun, kebanyakannya bukan penduduk tempatan, yang telah mengkritik tindakan menghalang pemandangan itu.

Related posts

Leave a Comment