KANADA: Serangan ke atas Rafah akan memberi kesan buruk yang tidak dapat ditanggung kerana mengorbankan ribuan orang awam dan memaksa ratusan ribu lagi melarikan diri, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres
Justeru beliau menggesa mana-mana pihak khususnya kuasa besar dunia yang mempunyai pengaruh ke atas Israel supaya menghentikan tindakan rejim Zionis yang melancarkan operasi ketenteraan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza.
Pada sidang media di Hamilton, beliau berkata serangan tentera bukan sahaja akan memberi impak buruk kepada rakyat Palestin di Gaza tetapi juga kesan yang ketara di seluruh rantau itu.
Guterres berkata, keadaan semakin buruk di Gaza selepas serangan 7 Oktober lalu dan mendesak gencatan senjata, pembebasan segera tanpa syarat semua tebusan, serta pergerakan besar dalam bantuan kemanusiaan yang sehingga kini masih tidak didengari.
“Demi rakyat Gaza, tebusan dan keluarga mereka di Israel, serta wilayah dan dunia yang lebih luas, saya sangat menggalakkan kerajaan Israel dan pimpinan Hamas untuk mencapai persetujuan,” katanya.
Guterres turut melahirkan kebimbangan mengenai laporan bahawa hospital kini diibaratkan seperti tanah perkuburan besar-besaran di Gaza.
Beliau berkata, pihaknya juga mendesak siasatan antarabangsa disegerakan terhadap penemuan kubur besar di beberapa lokasi di Gaza antaranya Kompleks Perubatan Al Shifa dan Kompleks Perubatan Nasser.
“Saya amat bimbang dengan laporan bahawa kubur besar ditemui di beberapa lokasi di Gaza.
“Adalah penting untuk memberikan kebenaran terhadap penyiasat antarabangsa bebas, dengan kepakaran forensik, ke tapak perkuburan untuk menentukan keadaan tepat berhubung jumlah rakyat Palestin yang kehilangan nyawa dan dikebumikan, atau dikebumikan semula,” katanya.
Beliau berkata, kanak-kanak dan orang kurang upaya di utara Gaza kini berdepan ancaman maut akibat kelaparan dan penyakit yang memerlukan tindakan dalam segenap aspek bagi mengelakkan kebuluran akibat perbuatan manusia ini.
Guterres yang menekankan kepentingan untuk memberi tekanan bagi mengelakkan tragedi lebih ngeri berlaku di Gaza, berkata, halangan terbesar untuk melaksanakan kerja membantu rakyat Palestin ialah kurangnya aspek keselamatan untuk sukarelawan.
Katanya, konvoi bantuan kemanusiaan, kemudahan, kakitangan dan penerima bantuan tidak seharusnya menjadi sasaran.
