Israel tekad serang Rafah

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar menyerang Rafah di selatan Semenanjung Gaza walaupun terdapat laporan kemungkinan adanya perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.

“Idea bahawa kita akan menghentikan perang sebelum mencapai semua objektif adalah di luar persoalan,” kata Netanyahu ketika pertemuan dengan keluarga tentera Israel, seperti dipetik dalam satu kenyataan dari pejabatnya.

Katanya, idea bahawa Israel akan menghentikan perang sebelum mencapai semua objektif adalah di luar persoalan, sebaliknya  tentera Israel akan memasuki Rafah untuk memusnahkan batalion Hamas “dengan atau tanpa perjanjian.”

Menurut Netanyahu, pemindahan orang awam dari Rafah telah bermula dan Israel akan berada di sana tidak lama lagi.

Rafah kini menjadi rumah kepada lebih 1.4 juta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal, dan kawasan terakhir di Semenanjung Gaza di mana Israel belum mengumumkan secara rasmi kemasukan tenteranya.

Kenyataan Netanyahu dibuat di tengah-tengah laporan cadangan gencatan senjata baharu yang dibincangkan oleh Hamas dan Israel untuk menamatkan konflik di Semenanjung Gaza.

Israel telah melancarkan serangan tanpa henti ke atas wilayah terkepung Palestin sejak serangan rentas sempadan oleh Hamas 7 Oktober lalu yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang.

Lebih 34,500 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan ribuan yang lain cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan keperluan yang teruk.

Lebih enam bulan selepas perang Israel, kawasan Gaza yang luas musnah, mendorong 85 peratus penduduk di wilayah itu ke perpindahan dalaman di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang melumpuhkan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai dan Tel Aviv diarah menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment