Najib harap dapat perbicaraan adil

PUTRAJAYA 18 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak mengakui beliau kini tidak dapat mempertahankan diri dengan adil selepas permintaan peguam belanya Hisyam Teh Poh Teik untuk mengecualikan diri, ditolak Mahkamah Persekutuan.

“Saya kini secara realiti, tidak mempunyai peguam bela dan tidak boleh untuk menghujahkan pembelaan.

Saya percaya, saya mempunyai kes yang kuat dan credible (dipercayai) serta saya juga percaya bahawa Hisyam dan pasukannya sekiranya diberikan waktu yang munasabah akan melakukan tugas hebat,” katanya kepada media selepas selesai prosiding rayuannya di sini, hari ini.

Najib berkata demikian selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan peguam utamanya, Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan akhir kes SRC International Sdn Bhd.

Katanya lagi, Hisyam berulang kali memberitahu Mahkamah Persekutuan tentang ketidaksediaan mereka untuk membuat hujahan, atas alasan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melihat hampir 200 jilid dokumen berkaitan SRC International.

“Saya hendak memasukkan dalam rekod di sini bahawa saya membantah sekeras-kerasnya prosiding rayuan hari ini, di mana hak saya, kehidupan saya dan hak untuk perbicaraan yang adil sedang dipertaruhkan.

“Seperti yang anda sedia maklum, peguam saya telah menyatakan mereka tidak dapat meneruskan hujahan (lisan) kerana kekangan masa. Malangnya mahkamah tidak membenarkan perkara itu berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata beliau berdoa dan berharap akan mendapat perbicaraan yang adil dan keadilan akan menang.

Mengenai tindakan peguam belanya yang enggan mengemukakan hujahan pada prosiding itu, Najib berkata, “mereka enggan meneruskan kerana tidak mempunyai masa untuk membuat persiapan.

Malangnya, Najib berkata, mahkamah tidak membenarkan peguam bela dan peguam caranya untuk menarik diri.

“Akibatnya, pembelaan saya tidak dapat disampaikan di mahkamah hari ini dan hanya pendakwaan yang membuat hujahan.

“Ini adalah perkara yang serius dan saya harap mahkamah akan mempertimbangkan dan mengambil langkah pembetulan,” katanya.

Najib turut menjelaskan bahawa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sudah melakukan tugas yang baik dalam mewakilinya.

Bagaimanapun, Najib berkata, beliau (Shafee) gagal di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, selain tidak dibenarkan untuk melantik Queen’s Counsel (QC) untuk mewakilinya.

“Dalam keadaan sebegitu, saya tiada pilihan selain mencari pasukan baharu kerana saya mahukan perspektif baru kepada kes ini.

“Itulah sebab saya melantik Hisyam dan Datuk Mohd Zaid Ibrahim,” katanya.

Sementara itu, Hisyam berkata, beliau memerlukan masa untuk meneliti dokumen namun tidak dibenarkan oleh mahkamah.

“Dalam keadaan sebegitu, pasukan saya tidak boleh secara efektif mewakili Najib.

“Itulah sebabnya, pagi tadi saya membuat permohonan kepada mahkamah untuk menarik diri sebagai peguam utamanya,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya diberikan waktu yang munasabah seperti diminta, beliau akan kembali dan berhujah satu persatu terhadap pendakwaan

“Itulah perbicaraan yang adil. Namun dalam keadaan sebegini, saya tidak boleh memainkan peranan yang efektif.

“Jadi pada dasarnya, Najib tidak mempunyai peguam untuk mewakilinya,” katanya

Related posts

Leave a Comment