Dua tahun lagi kawal wabak?

GENEVA: Negara-negara di dunia dijangka dapat mengawal penularan wabak Covid-19 dalam masa kurang dua tahun, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu taklimat media.

Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Gheyreyesus mengambil contoh virus ‘Spanish flu’ yang menular pada 1918 hingga membunuh 50 juta orang dan berjaya dikawal sepenuhnya selepas dua tahun.

“Kita mempunyai kelemahan dari aspek globalisasi, ketersambungan, tetapi dengan kelebihan teknologi yang lebih baik, kita berharap dapat mengatasi penularan wabak ini dalam masa kurang dua tahun dari sekarang,” katanya.

Beliau berkata dengan memanfaatkan sepenuhnya peralatan yang ada dan berharap dapat memiliki kelengkapan tambahan seperti vaksin, pandemik itu dapat diatasi dalam masa yang lebih singkat berbanding dengan selesema 1918.

WHO juga menyarankan agar kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas memakai pelitup muka dalam situasi yang sama dengan orang dewasa kerana penggunaan pelitup berupaya menghentikan penularan virus tersebut.

Tanpa vaksin yang berkesan, kaedah paling penting yang dimiliki adalah dengan mengawal pergerakan penduduk atau menguatkuasakan penjarakan sosial.

Lebanon adalah negara terkini yang menguatkuasakan semula sekatan yang ketat selama dua minggu mulai Jumaat termasuk perintah berkurung sebelah malam bagi mengurangkan peningkatan kes jangkitan ketika negara itu menangani tragedi letupan dahsyat di ibu kota Beirut awal bulan ini.

Tedros bagaimanapun berpendapat, dengan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi, virus berkenaan lebih mudah tersebar.

Ketika ini, negara-negara di Eropah terus berusaha untuk melawan penularan kes-kes baru.

Menurut WHO, bahagian barat Eropah sedang menyaksikan paras jangkitan yang belum pernah berlaku sejak beberapa bulan sebelum ini, terutama sekali di Jerman, Perancis, Sepanyol dan Itali, sekali gus meningkatkan kebimbangan berlaku gelombang kedua jangkitan virus tersebut.

Di ibu negara Sepanyol, Madrid, pihak berkuasa mengesyorkan para penduduk di kawasan yang paling terjejas supaya terus duduk di rumah untuk membantu membendung penularan virus itu selepas negara tersebut mencatatkan lebih 8,000 kes baru dalam tempoh 24 jam.

Perancis juga melaporkan kes harian yang melebihi 4,000 kes dalam tempoh dua hari berturut-turut, perangkaan yang tidak pernah dilihat sejak Mei – dengan penduduk di kawasan metropolitan membentuk sebahagian besar daripada jangkitan baru itu.

Related posts

Leave a Comment