Majlis tahlil ganti sambutan ulang tahun

KUALA LUMPUR 23 April –  Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-90 yang dijadual berlangsung Sabtu ini, dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat.

Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, berkata pembatalan sambutan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kapten Kehormat TLDM.

“(Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90) dibatalkan dan digantikan dengan tahlil dan doa selamat.

“(Keputusan) ini dibuat atas perkenan Sultan Selangor. Difahamkan, baginda pun akan mencemar duli bagi majlis berkenaan,” katanya pada sidang media di Lumut, Perak hari ini.

Mohamed Khalid berkata, pengurusan jenazah nahas itu akan dibuat mengikut perancangan keluarga masing-masing, dibantu Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM.

Beliau berkata, kementerian juga akan membantu membawa pulang jenazah yang berasal dari Sabah, selepas semua urusan berkaitan selesai.

“Keseluruhan jenazah nahas ini akan dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh di Perak bagi urusan bedah siasat.

“Setakat ini, keluarga mangsa yang menetap di Kota Kinabalu, Sabah sudah dibawa ke sini dan mereka akan terus ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.

“Kementerian, ATM dan TLDM juga akan menyalurkan manfaat dan faedah sewajarnya kepada balu dan waris mangsa, selain berterima kasih kepada semua pihak, terutama pegawai dan kakitangan Hospital Lumut serta pegawai pemerintah dan kakitangan,” katanya.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, warga Pangkalan TLDM  mengadakan bacaan Yasin dan tahlil buat anggota yang terkorban dalam nahas udara itu.

Markas Pemerintahan Armada Timur dalam hantaran menerusi laman Facebook memaklumkan bacaan Yasin dan tahlil itu diadakan di Masjid Ibnu Battuta, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sepanggar di sini.

Menurut hantaran itu warga Pangkalan TLDM Kota Kinabalu mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa.

“Sesungguhnya pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada negara. Semoga segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan akan mendapat sebaik-baik ganjaran di sisi Allah SWT.

Kami mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan bersemadi bersama orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran berkenaan.

Related posts

Leave a Comment