Kutuk, hina, MCA tidak rela bantu DAP

KUALA LUMPUR 23 April – Pemuda MCA sekali lagi mempertahankan keputusan Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA pada 19 April lalu yang memutuskan tidak turun berkempen dalam PRK Kuala Kubu Bharu (KKB), sekiranya calon Barisan Nasional (BN) tidak diletakkan sebagai calon.

Ketua Penerangannya, Neow Choo Seong berkata keputusan itu bukan kerana MCA kemaruk kuasa sebaliknya menegaskan keputusan dibuat kerana enggan membantu DAP yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan dan pendirian MCA yang tidak rela membantu DAP selepas pemimpinnya mengutuk MCA sebelum ini.

Katanya , sejak kebelakangan ini, pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, secara terbuka menghina serta mengguris hati akar umbi MCA dengan pelbagai tuduhan dan mengatakan tidak suka MCA.

Dengan angkuh, Loke mengatakan bahawa beliau tidak suka MCA dan melabel MCA parti tauke yang jelas merupakan fitnah berniat jahat memburuk-burukkan MCA.

“Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok juga secara terbuka dengan angkuh menghalau MCA keluar daripada BN. Tidakkah ini satu penghinaan kepada BN apabila sewenang-wenangnya mengarahkan sedemikian?

“Selepas menghina dengan pelbagai kata nista dan menjengkelkan, adakah akar umbi MCA mahu membantu DAP mempertahankan kerusi KKB? Pemuda MCA yakin, jika ia berlaku kepada mana-mana parti sekalipun, sudah tentu reaksi yang sama akan diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengenai dakwaan bahawa keputusan MCA itu disebabkan kemaruk kuasa, Choo Seong sebaliknya berkata, ia membuktikan bahawa parti itu komited dalam usaha mengembalikan kekuatan BN, khususnya di negeri Selangor.

Katanya, semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu yang diadakan pada 12 Ogos 2023 lalu, MCA membuat keputusan untuk tidak bertanding.

MCA hanya berkempen untuk calon-calon BN di enam negeri terlibat dan jika MCA kemaruk kuasa seperti yang didakwa, sudah tentu parti itu akan melobi dan bertanding di enam negeri tersebut.

Menurut FB, tindak tanduk pemimpin DAP yang semakin bongkak ini mengguris hati akar umbi MCA selepas menghina dengan pelbagai kata-kata nista dan menjengkelkan.

“Tiada siapa rela maruah parti sendiri dipermainkan atau dipijak oleh mana-mana pihak apatah lagi pihak yang wujud semata-mata mahu menggantikan parti kita, melainkan kita dayus dengan tidak melawan.

“Jatuh bangun kita tetap bersama dalam BN. Masa jadi pembangkang pun, MCA dan MIC tidak berganjak dan tidak tinggalkan BN. Itu adalah bukti semangat setiakawan walaupun ia tidak dihargai oleh sesetengah pemimpin UMNO sehingga menggelar kami sebagai ‘biawak hidup’” katanya.

Beliau juga menjelaskan, MCA tiada halangan sekiranya mana-mana parti mahu membantu DAP dalam berkempen kali ini.

“Sesiapapun berhak untuk memikul bendera DAP dan mengusungnya ke mana-mana. Jika MCA hormati hak semua pihak, jadi hormati jugalah hak MCA untuk tidak berkempen, kecuali calon BN ditampilkan kali ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment