KUALA LUMPUR 23 Ogos – Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi laluan selatan Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) – Kluang – KL Sentral. dilancarkan hari ini dan akan memulakan operasi pada 30 Ogos ini.
Pembelian tiket boleh dibuat mulai 23 Ogos 2025 (Sabtu), pukuk 8.00 malam melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kiosk atau laman sesawang rasmi KTMB. Stesen perhentian antara KL Sentral – Kluang adalah Segamat, Labis, Bekok dan Paloh.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan berangkat merasmikan ETS3 itu di Stesen Kuala Lumpur hari ini disusuli merasmikan Laman Rel Mahkota di Kluang.
Menurut kenyataan KTMB, kedua-dua acara ini menandakan pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur moden serta transformasi landskap bandar negara.
Majlis peluncuran rasmi ETS3 berlangsung di Stesen Kuala Lumpur pada pukul 7.40 pagi di mana tren generasi baharu ini dilengkapi teknologi moden dengan kelajuan operasi sehingga 140 km/j, menjadikannya antara tren penumpang elektrik paling laju di Malaysia ketika ini.
Dengan reka bentuk aerodinamik, sistem keselamatan terkini bertaraf antarabangsa serta keselesaan moden, ETS3 dijangka mempertingkatkan pengalaman perjalanan rakyat.
Ia juga memperkukuh jaringan mobiliti rel di Semenanjung Malaysia, khususnya laluan antara Kuala Lumpur dan destinasi utama di selatan tanah air termasuk Kluang, Johor.
Usai pelancaran ETS3, Sultan Ibrahim berangkat ke Kluang untuk merasmikan Laman Rel Mahkota, sebuah taman awam ikonik sepanjang 2.8 kilometer yang dibangunkan di bawah jajaran viaduct Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (GJBEDTP).
Laman Rel Mahkota mengekalkan identiti asal Taman Linear Warisan Keretapi Kluang dengan menampilkan elemen bersejarah seperti papan tanda lama, landasan dan jambatan pejalan kaki.
Pada masa sama, ia turut ditransformasi dengan elemen moden seperti landskap hijau, seni komuniti, kemudahan mesra keluarga serta ciri digital interaktif berasaskan kod QR
Stesen Keretapi Kluang baharu sebagai sebahagian daripada projek ini turut dilengkapi kemudahan moden termasuk 110 petak parkir kereta dan 63 petak motosikal, parkir bas, dua petak khas OKU, lif, eskalator, tandas, surau, ruang menunggu, kaunter tiket, mesin tiket dan premis makanan, demi keselesaan semua lapisan masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Azhar Ahmad, berkata fasa seterusnya akan memperkaya Laman Rel Mahkota sebagai pusat budaya, keusahawanan dan komuniti, termasuk pembinaan galeri warisan serta landskap seni.
Antara acara utama yang bakal berlangsung di sini ialah Kereta Api Sarong 2025 pada 13 September 2025.
Sementara itu, Pengarah Urusan SIPP–YTL JV, Yeoh Seok Hong menyifatkan Laman Rel Mahkota sebagai simbol penghargaan kepada masyarakat Kluang serta pengiktirafan kepada identiti bandar ini sebagai “Bandar Kereta Api” sejak 1909, di samping menjadi perintis taman rel moden negara.
Laman Rel Mahkota yang akan dibuka secara rasmi pada 25 Ogos ini, boleh dikunjungi orang ramai setiap hari bermula pukul 6.00 pagi hingga 9.00 malam.
