Agenda reformasi MADANI bantu rakyat

SHAH ALAM 21 April – Agenda reformasi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI merupakan tekad politik untuk membantu golongan rakyat yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang politik, kata Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim.

Beliau mengambil contoh Sumbangan Tunai Rahmah (STR), di mana kerajaan menyediakan sebanyak RM10 bilion pada tahun ini berbanding RM8 bilion tahun lalu, yang memanfaatkan sembilan juta rakyat untuk meringankan beban mereka.

“Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kita tambah lima kali ganda daripada RM130 juta tahun lalu kepada RM700 juta, bantuan untuk murid sekolah, dari darjah satu sampai tingkatan lima semua pelajar Melayu, Cina dan India, termasuk di Sabah dan Sarawak dapat, dengan jumlahnya untuk tahun 2024 ialah RM800 juta,” katanya.

Presiden PKR itu berkata demikian, ketika menyampaikan Amanat Presiden sempena Konvensyen 25 Tahun PKR, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga menjaga kebajikan penjawat awam menerusi kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), dengan cadangan penambahbaikan yang akan diumumkan 1 Mei nanti.

Perdana Menteri berkata oleh sebab itu kerajaan melaksanakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU), untuk membantu kerajaan memberikan bantuan kepada yang layak.

“Ini yang dikatakan reform. Saya nak nasihatkan kawan-kawan yang bicara dan agak sinis terhadap reform, reform ni dalam erti kata apa manfaat kepada golongan miskin, pekerja ladang, nelayan di kampung, pekebun kecil Melayu, India di estet, penjawat awam, ini yang mesti disampaikan dan ini memerlukan reform,” katanya.

Anwar juga berkata pelaksanaan subsidi bersasar khususnya ke atas RON95 dan diesel adalah langkah bertanggungjawab kerajaan menyelamatkan ekonomi negara walaupun dianggap tidak popular.

Malah, katanya, keputusan pelaksanaan subsidi bersasar itu sudah dibincang dan dipersetujui oleh kerajaan terdahulu tetapi tidak dilaksanakan kerana dianggap tidak popular.

Beliau berkata kerajaan bertekad untuk melaksanakan subsidi bersasar itu dan mengambil tindakan bertanggungjawab dalam melaksana program penyasaran subsidi kepada rakyat.

“Di mana rakyat merasakan mereka rugi dalam belanja minyak, kita tampung. Ini adalah dasar bertanggungjawab dan inilah reformasi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan rakyat yang terkesan dalam penyasaran subsidi itu akan dibantu menerusi pemberian tunai bulanan.

“Sekarang kalau tanya (berkaitan) subsidi minyak dan diesel, secara rasionalnya apa yang kita lakukan, sebab minyak yang kita subsidi, yang setiap hari digunakan, itu menguntungkan semua rakyat.

“Mereka yang paling kaya pun dapat subsidi. Ini kerja tak cerdik. Seramai 3.5 juta orang asing pun dapat subsidi.

“Kalau (harga minyak) naik, kita bagi suntikan langsung kepada rakyat. (Contoh beban perbelanjaan disebabkan harga minyak naik) naik RM100 sebulan, kita bagi RM100, ada masalah ke? nak bantah sebab apa.

“Ini kaedah (pemberian tunai) kita fikir punya lama, puluh tahun dibincang, puluh tahun juga kerajaan (terdahulu) setuju, tapi tak berani untuk dilaksanakan sebab dia takut tak popular,” katanya.

Dalam pada itu Anwar berkata, di sebalik persekitaran ekonomi dunia yang mencabar dan tidak menentu, Malaysia masih berupaya mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

“KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) Malaysia, yang kita catat 3.7 peratus (walaupun) sepatutnya lebih tinggi. Tapi perbandingan berapa negara, kita lebih baik. Singapura (mencatatkan KDNK) 1.1 peratus, Thailand 1.9 peratus, Amerika Syarikat (AS) 2.5 peratus, United Kingdom (UK) 0.1 peratus dan Korea Selatan, 1.4 peratus.

“Kadar pengangguran dan inflasi kita pun turun. Eksport kita sejak Januari lalu menyaksikan peningkatan 8.7 peratus,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment