Tugas baharu Zafrul di luar kerangka UMNO, BN

HULU SELANGOR 21 April – Selepas meletak jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor pada 1 April lalu, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, kini diberi tugas baharu di luar kerangka UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan demikian berkata beliau sendiri akan memantau prestasi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berkenaan dengan peranan baharunya itu secara dekat.

“Saya bincang dengan Tengku Zafrul. Ada tugas lain yang saya berikan kepada beliau (iaitu) untuk menyusun strategi dan melakukan sesuatu dari segi politik di luar kerangka UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Tugas itu beliau dan saya tahu. Insya-Allah saya akan pantau prestasinya dan yakin beliau boleh melakukannya,” katanya selepas merasmikan mesyuarat kelompok cawangan-cawangan UMNO Bahagian Hulu Selangor dan jamuan Aidilfitri di Dewan Al-Ghazali, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Mohd Isa Abu Kasim.

Ketika ditanya mengenai keputusan Tengku Zafrul meletakkan jawatan, Ahmad Zahid berkata beliau dan parti menghormati keputusan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu.

“Tak apa (sudah selesai). Saya sudah jumpa beliau dengan Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor),” katanya.

Pada 6 April lalu, Tengku Zafrul dalam catatan di Facebook berkata , keputusan meletak jawatan dibuat selepas melihat kebangkitan parti berkenaan di negeri itu hambar dan tidak sehaluan dengan tema UMNO pusat.

“Saya melihat sendiri bagaimana Presiden UMNO (Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan kepimpinan nasional tidak henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat. Namun, sejauh mana hebat perencanaan pusat, yang melaksana ada di negeri dan ke bawah.

“Saya tak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar, malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat,” katanya.

 

Related posts

Leave a Comment