Tidak perlu MoU jika kerajaan ikhlas

HULU SELANGOR 21 April – Kerajaan Perpaduan tidak perlu menyediakan Memorandum Persefahaman (MoU), jika ikhlas untuk memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, kata Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, keputusan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan adalah ‘mempertimbangkan’ bagi penyaluran peruntukan.

“Kabinet (dalam kenyataan menyatakan) bersetuju untuk menimbang (bagi peruntukan), kalau bersetuju… itu lain. Yang kedua, ada MoU. Kalau dia ikhlas, dia tak payah buat MoU.

Saya tak nak cakap pada zaman saya. Waktu Covid-19, kami bagi peruntukan kepada mereka (pembangkang). Mereka tak mohon… tak ada MoU atau perjanjian apa-apa.

“Ini kerana ketika itu zaman susah dan wakil rakyat bertanggungjawab meringankan beban,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini hari ini.

Jelas Muhyiddin lagi, pembangkang setakat ini belum lagi melihat kandungan draf MoU dan pihaknya akan menilai terlebih dahulu jika ada sebarang syarat, agar ia tidak mengikat wakil rakyat pembangkang.

“Kita belum tengok MoU. Apa kandungan dan kalau kita (kerajaan) bagi peruntukan, syaratnya adalah begini dan akhirnya mengikat kita… kita tak bodoh walaupun kita mahukan peruntukan,” kata bekas Perdana Menteri itu..

Pada 18 April lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan bagi menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri,  Fadillah Yusof, berkata satu draf MoU akan dirangka terlebih dahulu dan akan dipanjangkan kepada pihak pembangkang.

Sementara itu di KOTA SAMARAHAN, Fadillah berkata, draf MoU berkaitan penyaluran peruntukan itu masih diperhalusi dan perlu melalui beberapa peringkat sebelum keputusan muktamad dibuat.

Beliau berkata, selepas dipersetujui Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, draf itu akan diagihkan pula kepada pihak pembangkang.

“Selepas kami mengagihkan draf itu, mereka pula akan menilai sama ada bersetuju dengan inti pati yang disediakan ataupun mereka mahukan pindaan.

“Selepas pembangkang meneliti draf itu barulah kami (Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan) akan membuat keputusan muktamad,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan,  Hamzah Brahim di Pusat Khidmat ADUN Stakan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata, tiada ketetapan mengenai sokongan kepada Perdana Menteri sebagai syarat bagi penyaluran peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen pembangkang,

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, syarat ditetapkan bagi tujuan itu yang dibincangkan adalah tertumpu supaya kerajaan stabil dan fokus terhadap pertumbuhan ekonomi yang menjamin keamanan dan kestabilan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment