Gerakan sedia tanding PRK Kuala Kubu Bharu

KUALA LUMPUR 20 April –  Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebulat suara memutuskan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu yang akan berlangsung pada 11 Mei depan.

Presidennya, Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, hasrat Gerakan itu akan dikemukakan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan berlangsung pada Isnin ini.

Beliau bagaimanapun berkata, parti itu bersedia menerima sebarang kemungkinan kerana keutamaan adalah untuk memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada PRK tersebut dan berkhidmat kepada rakyat Kuala Kubu Bharu.

Bercakap pada sidang media, beliau berkata PRK Kuala Kubu Bharu akan menjadi satu referendum untuk rakyat menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan perpaduan.

“Kerajaan dakwa banyak yang telah dilakukannya, dan telah menjaga rakyat. Pembangkang kata, banyak isu dihadapi penduduk Kuala Kubu Baharu, seperti kenaikan kos barang dan kejatuhan ringgit, yang tidak dapat diselesaikan

Kerajaan kata ia bagus dan berupaya, tetapi kita kata rakyat susah. Biarlah PRK Kuala Kubu Baharu ini jadi satu referendum bahawa PH tidak berupaya melaksanakan janji kepada rakyat,” katanya.

Lau berkata, walaupun keputusan PRK itu tidak akan menyebabkan pertukaran kerajaan, tetapi sebagai “tunjuk ajar” kepada kerajaan perpaduan bahawa setakat ini, ia tidak mampu menyelesaikan masalah tempatan.

“Ini adalah satu pertarungan, bukan sahaja (antara) PN dengan PH, tetapi juga Gerakan, yang mewakili PN, mengatasi DAP. Kita nak tunjuk kepada DAP bahawa undi Cina itu bukan (milik) DAP.

“Kita akan kempen bersungguh-sungguh, berusaha untuk memenangkan (calon) PN, sama ada daripada Gerakan atau bukan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment