Jenazah Hanif Omar selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR 20 April – Jenazah Allahyarham Mohammed Hanif Omar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, pukul 3.17 petang ini, bersebelahan pusara anaknya, Ahmad Jamal Omar yang meninggal dunia pada 2013.

Terdahulu jenazah bekas Ketua Polis Negara itu dimandi dan disembahyangkan di Masjid Negara selepas tiba dari kediamannya di Shah Alam.

Solat jenazah diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah isteri Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Selain itu, tiga bekas Ketua Polis Negara iaitu Musa Hassan, Ismail Omar, Khalid Abu Bakar dan Acryl Sani Abdullah Sani.

Turut hadir mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham adalah anaknya, Kapten Abdul Rahmat Omar, ahli keluarga dan saudara-mara.

Razarudin, Ayob Khan; Acryl Sani  dan bekas Menteri, Syed Hamid Albar turut dilihat hadir di tanah perkuburan tersebut.

Mohammed Hanif, Ketua Polis Negara yang paling lama berkhidmat itu meninggal dunia pada pada 2.15 pagi tadi.

Allahyarham sangat berjasa kepada PDRM dan negara, banyak terlibat dalam peristiwa penting negara termasuk menjadi Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara (18 Mei 1969) berkaitan insiden 13 Mei.

Selain itu, Allahyarham juga bersama-sama dengan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman hadir ke Persidangan Manila berhubung dengan penubuhan MAPHILINDO pada tahun 1963.

Beliau juga merupakan antara wakil Kerajaan Malaysia dalam Perjanjian Damai yang dimeterai oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dengan Kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989 di Hatyai, Thailand.

Related posts

Leave a Comment