Kes harian kekal 5,000

PUTRAJAYA 27 Jun – Menjelang hari terakhir fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), jumlah jangkitan harian Covid-19 tidak berganjak dari paras 5,000 apabila merekodkan 5,586 kes baharu hari ini.

Pertambahan itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes melibatkan virus itu dalam negara adalah sebanyak 734,048.

Sebanyak 5,583 kes tempatan dilaporkan iaitu melibatkan 4,186 warganegara dan 1,397 bukan warganegara sementara tiga kes import adalah seorang warganegara dan dua bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 60 kematian direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan 4,944 orang meninggal dunia.

Selangor merekodkan 20 kematian, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (16), Kelantan (6), Johor (5), Negeri Sembilan (4), Sarawak (3), masing-masing dua di Melaka dan Pahang, serta masing-masing satu di Kedah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini sebanyak 61,395 kes.

Setakat ini, jumlah kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 866 kes dan daripada jumlah itu, 446 memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah keseluruhan kes sembuh ketika ini adalah sebanyak 667,709 kes berikutan pertambahan kes sembuh sebanyak 4,777 hari ini.

Related posts

Leave a Comment