SEPANG 10 April – Pengumuman projek kerajaan oleh pimpinan parti pemerintah menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) sepatutnya dielakkan atas nama integriti yang berkaitan tatakelola dan elemen nilai murni.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ketika Perdana Menteri sedang fokus untuk menaikkan martabat integriti negara, para menteri mestilah seiring melaksanakan etika yang murni ini.
Katanya, meskipun ia tidak melanggar mana-mana peraturan atau undang-undang sedia ada, tindakan mengumumkan sesuatu projek kerajaan menjelang kempen PRK di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, adalah tidak sesuai.
“Perdana Menteri dan kebanyakkan anggota Kabinet sekarang adalah golongan yang sentiasa mengecam perbuatan ini dahulu dan punyai kesedaran yang tinggi tentang perbuatan yang tidak bermoral tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilapor menyatakan kementerian itu sudah memperuntukkan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah kelolaannya demi kesejahteraan penduduk sekitar Hulu Selangor.
Kor Ming dilaporkan berkata, peruntukan itu membabitkan 14 projek bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Jais berkata pengumuman projek tertentu yang telah diluluskan lama sebelum PRK berlangsung sering berlaku di Malaysia dan amalan kerajaan terdahulu itu telah menyebabkan rakyat menolak parti tersebut.
“Ianya sepatutnya tidak lagi berulang. Semua perlu mengambil iktibar dari keputusan mahkamah pilihan raya PRU15 yang memutuskan keputusan di Kuala Terengganu tidak sah dan perlu diadakan semula akibat sikap tidak bertanggungjawab pimpinan politik dalam kerajaan,” katanya.
Akhirnya, ia membazirkan harta dan masa rakyat apabila mahkamah telah menyabitkan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.
Menurut Jais, komitmen jelas PMX untuk menghentikan amalan ini sewajarnya diikuti oleh semua pihak dan menegaskan bahawa Integriti, tatakelola dan etika bukanlah setakat diucapkan, sebaiknya disusuli dengan dengan tindakan dan amalan sebagai bukti nyata.
Nnnn
