PRK : Gerakan juga sedia calon Melayu

SEPANG 19 April  – Calon Melayu turut disenaraikan Gerakan Selangor untuk mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, 11 Mei ini.

Pengerusi Gerakan Selangor, Henry Teoh Kien Hong, berkata nama tiga calon itu yang mewakili pelbagai latar belakang dan kaum sudah dikemukakan awal minggu ini termasuk anak tempatan yang juga aktif di Gerakan Bahagian Hulu Selangor.

“Tiga calon sudah dikemukakan dan seorangnya daripadanya adalah calon Melayu manakala seorang calon lagi anak tempatan dan aktif di Gerakan bahagian,” katanya seperti dilaporkan BH.

Beliau mengulas calon parti itu dalam PRK Kuala Kubu Bharu selepas PN dikatakan sedang mengintai calon Melayu untuk bertanding di sana manakala Pakatan Harapan (PH) juga dilaporkan menyediakan seorang calon Melayu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu kerusi itu diwakili calon Gerakan yang bertanding bagi PN yang diwakili beliau sendiri.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong 58, pada 21 Mac lalu yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013.

Kee Hiong menewaskan Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi. Turut bertanding calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Dr Siva Prakash mendapat 1,186 undi dan Chng Boon Lai dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) mendapat 527 undi.

Sebelum ini, dilaporkan tiga nama dalam perhatian PN bagi kerusi itu manakala Pas negeri dikatakan sedang melobi meletakkan Ketua Pemuda Pas Hulu Selangor, Mohd Zulwafi Bahauddin yang juga Exco Pemuda Pas Selangor sebagai calon.

Kien Hong mengakui nama beliau turut disenaraikan atas cadangan Gerakan negeri.

Difahamkan selain nama beliau, calon Melayu yang dinamakan Gerakan Selangor adalah Ketua Penerangan Gerakan, Datuk Dr Asharuddin Ahmad yang juga bekas Naib Presiden parti itu dan seorang lagi Naib Pengerusi Gerakan Hulu Selangor, A Rama Rao.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu , Datuk Razali Idris berkata, pihaknya sudah ada senarai cadangan calon bagi PRK itu dan sesiapa saja boleh membuat cadangan calon yang mereka rasakan layak dan boleh memenangkan PN.

Razali berkata, beliau cenderung mencadangkan calon Melayu untuk menjadi calon pada PRK Kuala Kubu Bharu selepas mengambil kira sokongan pengundi Melayu yang menebal kepada PN ketika ini.

Katanya, dengan mengambil kira peratusan pengundi Melayu kira-kira 49 peratus, PN perlu mengambil kesempatan itu dengan meletakkan calon Melayu.

“Jika mengambil kira kerusi tradisi, DUN Kuala Kubu Bharu bukan kerusi tradisi DAP mahu pun Gerakan kerana kerusi itu diwakili MCA ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN),” katanya.

Ditanya tindakan PN meletakkan calon Melayu dipengaruhi kemungkinan DAP juga akan meletakkan calon Melayu, beliau berkata, parti itu meletakkan calon dengan mengambil kira kepentingan politik semasa bukan dipengaruhi penentuan calon lawan.

“Saya percaya DAP tidak akan meletakkan calon Melayu kerana jika mahukan calon Melayu lebih baik mereka meletakkan ahli UMNO yang tentunya ‘solid’ penyokongnya orang Melayu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment