Ismail Said mohon maaf isu buang beras

TEMERLOH 19 April – Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Dr Ismail Mohamed Said memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur termasuk beras yang tular di media sosial semalam.

“Saya bertanggungjawab penuh dan sangat menyesali perkara ini, Saya ambil maklum dan terima kasih atas keprihatinan serta sensitiviti rakyat Malaysia terhadap isu yang tular berkaitan pelupusan beras dan barang dapur,” katanya.

Lewat petang semalam, tular gambar puluhan kampit beras, tin sardin, tepung dan barangan makanan lain dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur – Kampung Gunung Senyum dekat sini.

Gambar itu menjadi tular selepas dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial di Facebook dan juga Tik Tok yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Susulan itu, ramai netizen memberi komen negatif dan membuat pelbagai andaian mengapa perkara itu terjadi kerana dianggap satu pembaziran dan merugikan.

Ismail berkata, beras dan barangan dapur berkenaan stok simpanan yang disediakan untuk orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Barangan dapur berkenaan disediakan menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun 2022 dan dalam tempoh berkempen, tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.

Katanya pembelian barangan dapur ini tidak membabitkan peruntukan Kerajaan Persekutuan atau peruntukan Kerajaan Negeri Pahang.

Ia juga tidak membabitkan peruntukan barangan dalam tempoh Covid-19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir.

Pada tarikh 5 April 2024, saya telah menerima aduan daripada jiran yang menyatakan terdapat bau busuk di tempat stor simpanan barangan dapur tersebut.

Ismail berkata, siasatan di stor simpanan ini mendapati terdapat beberapa ekor bangkai tikus dan beras serta barangan dapur ini telah dicemari bubuk dan kutu beras.

Menurutnya, sebahagian daripada beras ini telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar, dan sebahagian lagi telah dilupuskan.

Barangan lain seperti tepung, sardin, mi juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar.

Sementara itu di PUTRAJAYA, Kawalselia Padi dan Beras (KPB) mengesahkan longgokan beras yang dibuang di kawasan pembuangan sampah dekat Temerloh, Pahang seperti tular semalam, sudah rosak dan tidak selamat untuk dimakan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, perkara itu berdasarkan penemuan awal oleh pihak KPB Cawangan Temerloh yang menjalankan siasatan di lokasi berkenaan.

“KPKM memandang serius isu tular yang berlaku dan mengambil langkah segera menjalankan siasatan melalui KPB Cawangan Temerloh yang turut dihadiri pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

“Berdasarkan penemuan awal, pihak KPB Cawangan Temerloh mendapati beras terbabit sudah rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat untuk dimakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Related posts

Leave a Comment