Tidak ada jemaah batal umrah

KUALA LUMPUR 18 April –  Tidak ada jemaah Andalusia Travel yang membatalkan pakej bulan Syawal atau haji disebabkan faktor ketakutan akibat ketegangan yang berlaku di Asia Barat, kata Pengarah dan Penasihat Undang-Undangnya, Ida Riswana Idris.

Malahan katanya, buat masa ini, setiap hari hampir 800 orang jemaah Andalusia berada di Makkah atau Madinah.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu risau kerana pihak Andalusia sentiasa bekerjasama dengan kerajaan (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) demi menjaga keselamatan semua jemaah umrah dan haji dari masa ke semasa.

Katanya, Andalusia akan sentiasa melaporkan situasi jemaah kepada pihak kedutaan, terutamanya sekiranya berlaku sebarang malapetaka atau kecemasan.

Ida Riswana berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Saudi Airlines (Saudia) bagi pembelian 70,000 tiket penerbangan SV bernilai hampir RM230 juta untuk ditawarkan kepada jemaah yang ingin menunaikan umrah bagi 2024/2025.

MoU antara Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd ditandatangani bersama wakil syarikat penerbangan Saudi Airlines (Saudia), Che Zakiah Ahmad.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, Tabung Haji (TH) setakat ini masih meneruskan persiapan bagi musim Haji 2024 seperti yang dirancang susulan ketegangan yang memuncak di Asia Barat.

Mohd Na’im berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan seperti Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi memastikan keselamatan jemaah haji dan umrah Malaysia terjamin berikutan perkembangan semasa itu.

Sementara itu, Ida Riswana juga menegaskan bahawa Andalusia Travel akan terus komited untuk mengekalkan dan menambah baik mutu perkhidmatan kepada jemaah umrah yang dianggarkan akan bertambah sehingga mencecah 80,000 orang setahun pada musim umrah 1446H nanti.

Justeru, beliau berharap selain untuk menyantuni lebih ramai umat Islam untuk menunaikan haji dan umrah, MoU hari ini juga untuk memberi jaminan dan kepercayaan kepada jemaah bahawa penerbangan dan pakej yang ditawarkan adalah mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau pada masa sama turut mengumumkan pihaknya akan menawarkan destinasi ziarah di negara lain, sebelum mengerjakan umrah.

“Andalusia tidak lama lagi akan mempelopori destinasi lain disebabkan ketika ini, kita hanya terhad kepada Jordan dan Baitulmaqdis.

“Insya-Allah, kita akan masuk ke negara seperti Uzbekistan, Azerbaijan atau Tunisia sebelum mengerjakan umrah. Itu antara destinasi baru yang kita akan adakan pada 1446 Hijrah ini,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment