PBS, STAR tanda tangani MoU kerjasama hadapi PRN-17

SEPANG 16 April – Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Khamis ini sebagai tanda menjalin kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Presiden STAR, Dr Jeffrey Kitingan dalam hantaran di Facebooknya hari ini berkata MoU itu akan ditandatangani pada pukul 2.30 petang di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di Penampang.

Adalah dijangkakan Presiden PBS Dr Maximus Ongkili dan Dr Jeffrey akan menandatangani MoU itu dengan disaksikan oleh Penasihat PBS yang juga pengasas parti itu,  Joseph Pairin Kitingan.

MoU itu diadakan setelah beberapa bulan kedua-dua pihak mengadakan rundingan memupuk kerjasama antara PBS dan STAR bagi menghadapi pilihan raya negeri yang dijadualakan tahun depan, sekaligus mengakhiri ketegangan antara kedua-dua parti semasa pilihan raya Sabah 2020.

STAR di bawah pimpinan Dr Jeffrey telah mengusahakan formula kerjasama untuk mengukuhkan asas politik kedua-dua parti sebagai komponen kerajaan gabungan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mempunyai tujuh anggota.

GRS turut dianggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

MoU itu dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan kedua-dua parti tidak bertembung dalam pilihan raya seperti terjadi pada 2020 yang berakhir dengan keputusan PBS memperoleh tujuh kerusi dan STAR enam kerusi.

Sabotaj dalaman dilihat sebagai penyebab kekalahan beberapa kerusi, sebaliknya MoU itu merupakan usaha menyatukan dan mengukuhkan malah merupakan langkah penting dalam landskap politik Sabah.

Soal kerjasama di antara kedua parti pelbagai kaum berasaskan Kadazandusun Murut (KDM) itu menjadi perhatian sejak tahun lalu selepas Dr Jeffrey menyatakan kesediaan untuk bergabung dengan PBS sebagai persediaan menghadapi PRN17.

Dr Jeffrey menyatakan demikian ketika ditanya mengenai khabar angin penggabungan kedua-dua parti pada Konvensyen Nasional dan Ulang Tahun Ketujuh STAR Sabah pada 1 Julai lalu.

Dalam reaksinya, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai menyifatkan kenyataan Jeffrey sebagai sesuatu yang wajar ditimbangkan dan dibincangkan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti bagi memperkukuh perpaduan GRS.

Pada September tahun lalu, satu jawatankuasa khas bagi membincangkan cadangan penggabungan kedua-dua parti ditubuhkan diketuai Setiausaha Agung masing-masing, selain turut dibincangkan ketika Kongres Perwakilan PBS Ke-38.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam pada 2 September tahun lalu pula menyatakan soal penggabungan masih jauh, namun tumpuan kedua-dua parti ketika ini adalah untuk mewujudkan kerjasama menjelang PRN17.

Ini diikuti pada 16 November tahun lalu, Setiausaha Agung kedua-dua parti mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan kesepakatan kedua-dua pihak untuk memulakan perbincangan rasmi mengenai kerjasama di antara kedua-dua parti.

Akhirnya, mesyuarat rasmi pertama pada 13 Disember tahun lalu memutuskan agar kedua-dua parti menandatangani MoU sebagai tanda  kesepakatan masing-masing bagi memperkukuh GRS menghadapi PRN17.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment