Suspek tembak di KLIA direman 7 hari

KOTA BHARU 16 April –  Suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi kelmarin ditahan reman tujuh hari mulai hari ini.

Perintah tahanan reman ke atas Hafizul Hawari, 38, itu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Dia juga akan dibawa ke Kuala Lumpur hari ini untuk siasatan lanjut.

Terdahulu suspek yang ditahan di Jalan Bayam, di sini, semalam selepas 36 jam melarikan diri tiba di mahkamah kira-kira pukul  8.30 pagi dengan menaiki kereta polis diiringi empat pegawai termasuk anggota polis.

Suspek ditahan di hadapan sebuah hospital swasta oleh Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kelantan.

Dalam kejadian pukul 1.20 pagi Sabtu lalu, beberapa das tembakan yang dilepaskan suspek menggemparkan orang ramai di balai ketibaan terletak di aras tiga KLIA.

Suspek dipercayai cuba menembak isterinya dengan menggunakan sepucuk pistol ketika wanita itu menunggu jemaah umrah pulang dari Tanah Suci di Balai Ketibaan Antarabangsa bersama dua pengawal peribadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, pada sidang media dilaporkan berkata suspek melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya.

Katanya, satu das tembakan tersasar, namun satu lagi das tembakan terkena seorang pengawal peribadi isteri suspek.

Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun terkena tembakan pada bahagian perut dan mangsa yang dirawat di Hospital Cyberjaya belum sedarkan diri.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment