Suspek dipercayai mahu lari ke Makkah

KOTA BHARU 16 April –  Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi kelmarin, mahu melarikan diri ke Makkah melalui Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata ia susulan rampasan dibuat membabitkan sejumlah wang tunai dalam mata wang Riyal dan Baht daripada suspek, Hafizul Hawari, semalam.

Beliau berkata, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria bersama 33 butir peluru hidup, mercun bola, enam telefon bimbit, pasport dan empat kad pengenalan milik orang lain.

“Saya tidak menolak kemungkinan berkenaan (suspek mahu melarikan diri ke Makkah melalui Thailand) berdasarkan wang tunai dalam mata wang asing yang dirampas. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan.

Kita percaya suspek memang mahu melarikan diri ke luar negara. Bagaimana kaedah suspek mahu melarikan diri, itu masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Shuhaily berkata, suspek berusia 38 tahun itu dipercayai tiba di Kelantan pada petang kelmarin selepas waktu zuhur, kemudian menginap di sebuah hotel dengan mendaftar masuk menggunakan identiti individu lain melalui salah satu kad pengenalan yang dirampas, menyebabkan kehadirannya ketika itu gagal dikesan.

Hasil siasatan juga mendapati selepas kejadian, suspek tidak berjumpa sesiapa dan terus menuju ke Kelantan sebelum menginap di sebuah hotel.

“Oleh itu, kita percaya suspek bergerak sendirian tanpa dibantu individu lain. Kereta yang digunakan suspek juga masih sama, iaitu Honda Civic. Namun, suspek menukar nombor plat bagi mengelak pergerakannya dikesan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan terhadap suspek mendapati, kejadian itu masih berkisar mengenai perihal peribadi.

“Setakat ini, tiada unsur lain. Motif masih berkisar tentang perihal peribadi. Kita akan bawa suspek pulang ke Selangor hari ini untuk selesaikan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh,” katanya.

Mohd. Shuhaily memberitahu, polis masih menyiasat sama ada pistol jenis Glock 19 Austria yang dirampas itu merupakan senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut atau sebaliknya.

Sementara itu, Mohd Shuhaily turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pasukan yang membantu menyelesaikan kes berkenaan.

“Syukur, kes ini selesai dengan aman, selain tiada pihak yang cedera (dalam proses berkenaan). Saya berterima kasih kepada semua, termasuk Ketua Polis Negeri yang terbabit dengan kawasan sempadan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment