Tembakan di KLIA, suspek dikenal pasti

SEPANG 14 April – Lelaki yang bertindak melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 di Sepang, dipercayai melarikan diri ke utara.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, siasatan lanjut mendapati suspek sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang berada di situ.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau juga memaklumkan, identiti suspek sudah dikenal pasti dan operasi mengesannya sedang giat dijalankan selepas siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai melarikan diri ke utara.

Hussein berkata, ketika kejadian, isteri suspek dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Suspek bertindak melepaskan dua das tembakan sebelum terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api.

Beliau berkata, kejadian itu adalah bersifat peribadi dan tidak berkaitan dengan sebarang aktiviti keganasan.

“Bagaimanapun, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Akta Senjata Api,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa klip video memaparkan suasana cemas dipercayai berhubung kes itu yang meminta orang ramai yang berada di KLIA1 supaya berhati-hati.

Nnn

Related posts

Leave a Comment