Israel sudah ada tarikh serang Rafah

BAITULMAQDIS: Israel telah menetapkan satu tarikh untuk melancarkan serangan darat ke atas Rafah, di mana kira-kira 1.5 juta penduduk Gaza berlindung di bandar itu, yang masih belum berdepan serangan darat berskala besar.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagaimana pun tidak menyatakan bila pencerobohan akan berlaku tetapi pemimpin itu mengulangi kenyataan, kemenangan ke atas Hamas memerlukan serangan ke Rafah.

Israel mendakwa Rafah antara kubu terakhir Hamas di Gaza.

“Ia akan berlaku – ada tarikhnya,” katanya dalam satu kenyataan video  ketika perbincangan di Kaherah mengenai gencatan senjata Gaza dan perjanjian tebusan yang dilihat mempunyai peningkatan.

Netanyahu kini sedang ditekan bukan sahaja di negara sendiri malah rakan pakatan sayap kanannya yang didakwa berang pada perbincangan mengenai gencatan senjata dan Israel terpaksa menarik keluar tenteranya dari selatan Gaza, kelmarin.

“Kami bekerja sepanjang masa untuk mencapai matlamat kami, terutamanya pembebasan semua tebusan kami dan mencapai kemenangan lengkap ke atas Hamas,” kata Netanyahu.

Rumah Putih semalam berkata, perunding di ibu negara Mesir sudah mengemukakan cadangan kepada Hamas bagi gencatan senjata di Semenanjung Gaza dan perjanjian tebusan.

“Sekarang terpulang kepada Hamas untuk menyelesaikannya,” katanya yang menyifatkan rundingan itu sebagai ‘serius’.

Perang Gaza tercetus akibat serangan 7 Oktober oleh Hamas dan serangan balas Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 33,207 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Related posts

Leave a Comment