Enam gejala baharu

PUSAT Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan tambahan enam gejala Covid-19 yang baharu, seiring dengan pemahaman lebih mendalam pakar kesihatan mengenai virus berkenaan.

Gejala terbabit adalah menggigil; getaran tubuh secara berulang serentak dengan menggigil; sakit otot; sakit kepala; sakit tekak dan kehilangan deria rasa atau bau.

Semua gejala ini biasanya muncul dua hingga 14 hari setelah pesakit terdedah kepada virus berkenaan.

Sebelum ini, CDC hanya menyenaraikan tiga gejala yang diketahui iaitu sesak nafas, batuk dan demam.

Penambahan tersebut mengesahkan maklumat yang dilaporkan oleh pesakit dan doktor selama beberapa minggu sebelum ini.

Antaranya adalah kehilangan rasa atau bau yang telah dilaporkan oleh sekumpulan doktor telinga, hidung dan tekak Britain pada pertengahan Mac, ketika banyak pihak berasakan gejala itu mungkin tanda awal seseorang dijangkiti Covid-19.

Satu kajian terhadap pesakit Covid-19 di Eropah turut mendapati antara 85.6 hingga 88 peratus pesakit mengalami gejala hilang deria rasa dan bau.

Dalam satu kajian di Iran, 76 peratus pesakit Covid-19 yang melaporkan kehilangan bau memberitahu ia berlaku secara tiba-tiba sebelum gejala lain muncul.

Sementara itu, meskipun tidak disenaraikan di laman web CDC, keletihan melampau juga dilaporkan dialami oleh pesakit sebelum mereka disahkan positif Covid-19.

Related posts

Leave a Comment