THE HAGUE – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memulakan pendengaran mengenai kes dibawa Nicaragua yang mendakwa Berlin memudah cara genosid di Gaza dengan menyediakan sokongan politik dan ketenteraan kepada Israel.
Duta Nicaragua Carlos Jose Arguello Gomez berkata negaranya meminta supaya mahkamah mengarahkan Jerman supaya menghentikan sokongan kepada serangan Israel di Gaza.
Katanya , kes itu melibatkan peristiwa yang menjejaskan kehidupan dan kesejahteraan ratusan ribu manusia dan malah kemusnahan keseluruhan warga wilayah berkenaan.
“Pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan norma mesti dipatuhi dalam undang-undang antarabangsa termasuk genosid sedang berlaku di Palestin,” katanya.
Duta itu menegaskan, dengan menyediakan sokongan politik dan ketenteraan kepada Israel, Jerman melanggar Konvensyen Genosid 1948 dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Nicaragua meminta mahkamah mengarahkan Jerman untuk menghentikan sokongan kepada Israel dalam kempennya menghapuskan rakyat Palestin,” katanya.
Kerajaan Jerman kekal sebagai satu penyokong kuat serangan tentera Israel di Gaza, walaupun menerima tekanan yang semakin meningkat daripada orang ramai.
Canselor Olaf Scholz berulang kali berkata Jerman memikul tanggungjawab khas kepada Israel kerana sejarah Nazi Jerman.
Berlin meluluskan eksport senjata bernilai €326.5 juta (AS$354 juta) ke Israel pada 2023, majoritinya diluluskan setelah Israel melancarkan serangan tentera ke atas Gaza pada 7 Okt lepas – peningkatan 10 kali ganda daripada 2022.
Pada awal bulan lalu, Nicaragua memfailkan kes di ICJ terhadap Jerman kerana memberi bantuan kewangan dan ketenteraan kepada Israel.
Kes itu turut mempersoalkan tindakan Jerman berhenti membiayai Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Nicaragua meminta ICJ mengeluarkan langkah kecemasan yang memerlukan Jerman menghentikan bantuan ketenteraannya kepada Israel dan membatalkan keputusannya untuk menghentikan pembiayaan kepada UNRWA.
Jerman membalas dakwaan itu, dengan jurucakap kementerian luar Jerman, Sebastian Fischer memberitahu pemberita sebelum perbicaraan yang mereka menolak dakwaan Nicaragua.
“Jerman tidak melanggar Konvensyen Genosid mahu pun undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan kami akan menunjukkan sepenuhnya di hadapan ICJ,” katanya.
Nnnn
