Akmal ke Sabah bukan kerana isu KK Mart

PAPAR 8 April – Kehadiran Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh ke Sabah pada Jumaat lalu tiada kaitan dengan isu stoking tertera kalimah Allah yang dikaitkan dengan pasar raya KK Mart.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Papar, Hairul Rahman, berkata Dr Akmal sebaliknya menghadiri program Jelajah Pemuda UMNO yang diadakan di Beaufort dan Kimanis.

Susulan itu, Hairul Rahman, berkata tindakan pihak tertentu khususnya pemimpin politik di negeri ini yang mengaitkan kehadiran itu dengan isu KK Mart dan meminta Dr Akmal disekat memasuki Sabah disifatkan sebagai ‘menangguk di air keruh’.

“Kedatangan Dr Muhamad Akmal ke Sabah baru-baru ini kerana ada undangan menghadiri program Jelajah Ramadan iaitu satu daripada program Pemuda UMNO di Beaufort dan Kimanis.

“Beliau ke sini bukan untuk berceramah atau menjelaskan isu KK Mart, tetapi pemikiran individu yang mencadangkan sekatan termasuk menolak UMNO itu terlalu sempit, selain menunjukkan ia dilakukan demi kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hairul berkata, walaupun isu stoking kalimah Allah dalam proses siasatan pihak berkuasa, namun semakin ramai ahli politik menunggang isu itu dan sengaja membawa naratif perkauman serta agama yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan negara.

Beliau berkata, isu itu bukan berkaitan hubungan di antara orang Islam dan bukan Islam atau Melayu dengan bukan Melayu, sebaliknya tertumpu di antara masyarakat Islam dengan sebuah syarikat korporat.

“Ini berlaku apabila sebuah entiti perniagaan yang cuai dalam proses penapisan produk menyebabkan perkara ini berlaku, bukannya disebabkan syarikat berkenaan dimiliki oleh orang bukan Islam,” katanya.

Beliau kesal apabila isu itu dikaitkan dengan perkauman dan agama disebabkan ada ahli politik cuba mencampurkan elemen kaum dan agama dalam kenyataan mereka.

Katanya, Dr Akmal dan pemimpin UMNO yang lain tidak menyentuh mengenai agama dan kaum lain dalam isu berkenaan.

“Ini bukan soal politik, sebaliknya perjuangan lebih besar membabitkan kalimah suci Allah SWT yang boleh mencetuskan rasa kurang senang masyarakat Islam di negara ini.

“Tidak akan ada protes besar-besaran, perhimpunan atau kekacauan awam seperti digembar-gemburkan segelintir pihak. UMNO kekal tenang dan akan mengikuti kes ini secara dekat,” katanya.

Terdahulu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah Sufian Abd Karim menyifatkan cadangan Anifah Aman untuk melarang Dr. Akmal memasuki Sabah tidak masuk akal dan semata-mata mahu mengaut populariti daripada perjuangan yang mendapat sokongan daripada rakyat majoriti.

Dalam kenyataannya, beliau bertanya sama ada cadangan ini bersifat simpati kepada masyarakat ataupun hanya berselindung di sebalik kehendak pihak berkepentingan.

“Adakah mempertahankan isu ‘Kalimah Allah’ daripada sebuah syarikat diklasifikasikan sebagai isu perkauman sedangkan ianya wajib bagi mereka yang beragama Islam mempertahankannya.

Adakah tinfakan yang dilakukan oleh Dr. Akmal bagi memboikot sebuah pasar raya yang ternyata menyinggung perasaan umat Islam di Malaysia sebagai sebuah kesalahan jenayah?,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah yang dilantik Dr. Akmal adalah seorang yang berbangsa Murut dan bukan beragama Islam.

“Bagaimana Tan Sri boleh menuduh parti yang pernah mengangkat Tan Sri sehingga berada di puncak satu ketika dahulu sebagai parti perkauman wal hal Tan Sri sendiri tahu ahli dan pimpinan UMNO terdiri daripada berbilang kaum termasuk yang bukan beragama Islam.

Tan Sri sepatutnya lebih tahu tentang prinsip perjuangan parti yang pernah didokong oleh Tan Sri sendiri, atau sebenarnya prinsip sebenar UMNO itu telah lupus sepenuhnya dari jiwa Tan Sri?,” kata Sufian.

Related posts

Leave a Comment