PUTRAJAYAÂ 8 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 jika ada pihak mengambil kesempatan isu logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah.
Menerusi satu kenyataan hari ini, MCMC memberi amaran supaya tidak ada pihak menyebarkan kandungan bersifat provokatif dan membuat hantaran atau meninggalkan komen melampaui batas yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.
“Susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, MCMC menggesa mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat di media sosial membabitkan logo kasut didakwa mirip kalimah Allah, untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa termasuk polis.
Semua pihak perlu memberikan ruang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan ini,” katanya.
Orang ramai juga diingatkan tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R (kaum, raja, agama), sebaliknya melaporkan kepada MCMC dan polis untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, dilaporkan berkata, polis membuka kertas siasatan berhubung logo kasut keluaran sebuah syarikat tempatan yang didakwa seakan-akan mirip kalimah Allah.
Ia susulan tular foto kasut yang memaparkan logo berkenaan sehingga mengundang pelbagai reaksi warga maya.
Nnnn
