Tiada niat hina agama, kepercayaan

SEPANG 7 April – Pengurusan Vern’s Holding Sdn Bhd, memohon maaf berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya yang pada pandangan mereka disalah tafsir sehingga menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

Syarikat itu dalam kenyataannya menjelaskan pihaknya sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.

“Untuk pengetahuan semua, logo ini 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi, seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan.

Bagaimanapun, kami akui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak,” kata kenyataan itu bagi menjelaskan reka bentuk logo tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan isu tular berkaitan kasut wanita yang mempunyai tulisan menyerupai kalimah Allah pada tapak kasut keluaran syarikat itu.

Berikutan itu, pihak syarikat telah mengambil langkah segera menghentikan penjualan kasut dan logo serta bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut.

“Dengan rasa rendah diri, kami pihak pengurusan ingin memohon kemaafan semua dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan yang telah berlaku.

Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami memperhalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan yang diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment